X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat perlu berlapang dada, beri ruang pada Agong

Tengku Ibrahim
A
A

KUALA TERENGGANU - Rakyat perlu berlapang dada dan memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melaksanakan tugas baginda menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara buat masa ini.

Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin berkata, ia bagi memelihara suasana harmoni dalam negara ekoran pergolakan yang berlaku mutakhir ini.

Katanya, banyak pandangan disuarakan sejak pergolakan politik yang melanda negara hingga mencetuskan rasa cemas dalam kalangan rakyat.

"Sejak berlakunya kemelut politik begitu banyak rancangan berbentuk analisa politik yang dimainkan di kaca televisyen tempatan.

"Ada antaranya yang masih lagi mengeluarkan pendapat tanpa asas yang sahih.

"Hal itu menyebabkan timbulnya spekulasi sekali gus mengakibatkan rasa gelisah di antara penyokong-penyokong parti tertentu dan rakyat Malaysia amnya," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, medium menyuarakan pendapat melalui analisa bukan cara yang tepat untuk memberi kesedaran celik politik pada hari ini.

"Situasi sedia ada mampu mengusik sensitiviti sesetengah penyokong politik yang ekstrem atau mungkin mampu mengganggu ketenteraman sebahagian kaum.

"Media seharusnya berperanan untuk meredakan ketegangan sedia ada dan rakyat pula harus berlapang dada dan memberi ruang kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan tugas baginda sekali gus mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus