X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh beranak rentung dalam kebakaran di Membakut

Sebuah rumah papan yang musnah dalam satu kebakaran mengorbankan tujuh orang dalam satu keluarga di kampung Bandau di sini awal pagi tadi. -Foto Bernama
A
A

BEAUFORT - [DIKEMASKINI] Tujuh sekeluarga rentung selepas rumah kayu didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bandau, Membakut, dekat sini, awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan, ketika di hubungi Bernama berkata, tujuh mangsa itu terdiri daripada ibu bersama tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan rentung dalam kejadian jam 1.16 pagi.

"Selepas menerima panggilan kecemasan, BBP Kimanis dengan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh 17 kilometer dan mendapati rumah kayu bertiang itu sudah terbakar sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak dalam satu kenyataan berkata, mangsa dikenali sebagai Nadia, 25, sebagai ibu dan enam lagi anaknya iaitu Nana Romel, 14; Aisa Romel, 13; Shasha Romel, 10; Danial Romel, 7; Faisal Romel, 5; dan Samasan Romel, 2.

Beliau berkata, semua mangsa yang ditemukan rentung dipercayai tidak dapat keluar dari rumah disebabkan gagal membuka pintu gril rumah yang berkunci.

"Bagaimanapun, bapa mangsa berusia 34 tahun dan seorang anaknya serta seorang pekerja mereka selamat," katanya.

Menurutnya, mereka juga melecur di bahagian badan dan sudah dihantar ke Hospital Beaufort untuk rawatan.

Maklumat awal katanya, mendapati kesemua mangsa adalah dari satu keluarga warganegara asing terdiri dari Filipina (suami) dan Indonesia (isteri) dan dipercayai bekerja sebagai petani. - Bernama