Shimano Surfcasting tawar hadiah RM165,000

Semua edisi Shimano Surfcasting Challenge sebelum ini diadakan di Pantai Puteri, Melaka.
Semua edisi Shimano Surfcasting Challenge sebelum ini diadakan di Pantai Puteri, Melaka.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Hadiah bernilai RM165,000 menanti peserta cabaran memancing Shimano Surfcasting Challenge di Pantai Remis di sini Ahad ini.

Pertandingan anjuran bersama Shimano, OFT Pancing, Mee Fishing dan Wakjali Event Management itu julung kali diadakan di Selangor dan semua edisi cabaran itu sebelum ini diadakan di Pantai Puteri, Melaka.

Pengurus Wakjali Event Management, Md Zali Kasran berkata, Shimano Surfcasting Challenge menawarkan hadiah berjumlah RM104,600 dan juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM60,000.

Katanya, naib juara akan menerima RM10,000 dan tempat ketiga pula RM5,000.

"Pemenang keempat bakal membawa pulang RM500, kelima RM400 dan keenam hingga ke-80 akan menerima RM350.

"Pemenang hadiah saguhati dari tempat ke-81 hingga 150 menerima RM150.

"Seperti acara sebelum ini, penganjur menawarkan pelbagai jenis peralatan memancing jenama Shimano untuk cabutan bertuah bernilai hampir RM60,000," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, sebanyak 120 barangan Shimano termasuk Stella 8000HG, Aero 4000XG dan joran Ultegra Surf disediakan untuk peserta bertuah.

Artikel Berkaitan:

"Pertandingan bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari. Kaunter pendaftaran dibuka sejak awal Februari lalu di premis Mee Fah di Shah Alam dan Melaka.

"Sebanyak 1,200 helai kemeja-T lengan panjang disediakan kepada peserta yang mendaftar awal.

“Selain hadiah cabutan bertuah, pihak Shimano juga akan memberikan hadiah khas kepada peserta yang menggunakan peralatan memancing jenama Shimano," katanya.

Md Zali berkata, hadiah yang disediakan ialah dua unit Horizon Surf Game 450BX dan tiga unit Ultegra Surf S500BXG.

Yuran penyertaan RM100 untuk satu joran dan setiap peserta boleh memenangi lebih daripada satu hadiah yang ditawarkan.

Kaunter pendaftaran dan penyerahan t-shirt akan dibuka di Pantai Remis bermula jam 12 tengah hari Sabtu ini selama 24 jam.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi talian 012-2141401, 019-6203040 dan 012-6823479.