Hikmah di sebalik kejadian

Untitled
Untitled
A
A
A

TAHUN 2020 ini nampaknya Malaysia tidak sunyi daripada pelbagai isu panas yang menjadi topik perbualan hangat rakyat.

Bermula hujung tahun lalu, dunia dikejutkan dengan serangan dahsyat koronavirus (Covid-19) yang bermula di Wuhan, China sebelum merebak ke beberapa negara termasuklah Malaysia, diikuti isu usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang bertelekung di Makkah.

Belum habis netizen ‘membawang’, negara dikejutkan pula dengan kematian pelawak terkenal tanah air, Abam Bocey dan pelakon Ashraf Sinclair yang meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung.

Sejak Ahad lalu, rakyat menyaksikan pula politik negara bergolak dengan kemuncaknya Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kelmarin. Bagaimanapun, enam jam selepas itu, Pejabat Ketua Setiausaha Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik semula Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim.

Perkara-perkara yang berlaku itu walaupun tidak enak didengar, namun jika dilihat dari sudut positif ia sebenarnya membuka mata rakyat dan membantu kita memahami sesuatu perkara dengan lebih jelas.

Misalnya, isu Covid-19, sudah dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran bahawa Islam menyuruh umatnya memakan makanan yang halal dan baik.

Seperti disebut dalam surah al Baqarah ayat 168 yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, makanlah daripada makanan yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di atas bumi dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”

Kematian

Artikel Berkaitan:

Namun di China, tabiat sesetengah rakyatnya yang suka makan makanan eksotik akhirnya membawa musibah.

Pegawai kesihatan China memberitahu, virus mungkin dikesan dari sebuah pasar makanan laut di Wuhan yang menjual haiwan liar sebagai makanan.

Setakat ini, Covid-19 mencatatkan 2,625 kematian dengan 79,440 kes disahkan dalam dan luar China selain telah menyerang lebih 20 negara dunia.

Di sini, ilmu sains telah membuktikan kenapa Islam mengharamkan sebahagian binatang untuk dimakan. Sesungguhnya tiada apa yang diperintahkan ALLAH adalah sesuatu yang sia-sia, justeru setiap larangan ada kebaikan di sebaliknya.

Begitu juga dengan isu usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad atau lebih dikenali sebagai Sajat yang berpakaian wanita ketika berada di Tanah Suci.

Jika kita melihat Sajat mencemarkan imej negara dengan isu tersebut, namun penulis percaya ada hikmah yang ALLAH susun di sebalik apa yang berlaku. Secara tidak langsung sebenarnya kita belajar lebih mendalam mengenai ibadah umrah, hukumnya kepada golongan yang melanggar fitrah manusia.

Seperti yang dijelaskan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, wajib bagi seorang transgender (mukhannas) menunaikan umrah dengan jantina asalnya.

Menurutnya, dalam konteks isu Sajat wajib secara syarak sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan hadis untuk beribadah dan berpakaian seperti lelaki.

“Umrah sah jika mematuhi rukun umrah, namun perbuatan sedemikian tetap haram dan dikira berdosa, malah dia boleh dikenakan dam kerana melanggar wajib umrah,” katanya.

Penulis percaya jika isu itu tidak timbul, ramai yang tidak tahu hukum kerana kes itu jarang berlaku, namun disebabkan kontroversi tersebut terpalit pada orang yang dikenali, maka ramailah pakar agama yang memberi pendapat dan nasihat hingga ia turut memberi manfaat kepada orang lain.

Begitu juga dengan kes kematian mengejut membabitkan selebriti tanah air. Banyak memberi pengajaran kepada kita bahawa tubuh badan sihat tidak menjanjikan umur yang panjang. Maka ramailah yang mula menginsafi diri! Tidak kurang yang membuka mata mengenai isu faraid gara-gara kontroversi yang melanda balu Allahyarham Abam bersama keluarga mentuanya.

* Siti Hazira Hamdan ialah Web Master portal Sinar Harian