Hasan Malek bimbang kemelut peralihan kuasa rugikan Malaysia

Hasan Malek
Hasan Malek
A
A
A

SHAH ALAM - Situasi politik negara yang tidak menentu sekarang adalah berbahaya dan merugikan negara, kata bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Menurutnya, kemelut yang berlaku sekarang menyebabkan orang luar tidak dapat menjangka apakah yang bakal berlaku kepada Malaysia dan disebabkan faktor tersebut, ramai pelabur menolak untuk melabur dalam negara.

“Orang luar tak tahu apa yang bakal berlaku di Malaysia dan ini akan merugikan negara. Orang mesti tak mahu melabur dengan kita.

“Perdana Menteri Interim ini pun tak sepatutnya terlalu lama. Kalau lagi lama, saham akan turun, kepercayaan orang luar kepada kita pun akan menurun, ini akan bawa kerugian kepada kita.

“Secara kebetulan dalam keadaan virus Covid-19 yang menyerang Malaysia, ia berikan situasi tidak bagus juga. Saya lihat perkara-perkara sebegini akan merugikan negara,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Tambah bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, beliau yakin apa yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad sekarang adalah untuk kebaikan negara.

“Dari segi politiknya, nampaknya keyakinan semua parti menjurus kepada beliau. Sekarang ini kita tertanya apa hasrat Tun Mahathir, saya rasa Kabinet yang akan dibentuk ini adalah cerminan apa yang beliau mahukan.

“Soal institusi diraja, bahasa, pendidikan, beliau perlu dapatkan orang yang tepat, bukan berdasarkan parti yang ada. Jadi, kalau dibentuk kerajaan baharu nanti, kena cari orang yang benar-benar sesuai dengan kehendak beliau.

Artikel Berkaitan:

“Jadi beliau mesti ada orang yang tepat. Kita mendoakan apa yang dihasratkan boleh direalisasikan dalam Kabinet yang akan dibentuk nanti. Saya cukup yakin Dr Mahathir akan buat perkara ini untuk kepentingan negara,” katanya.

Politik negara dilanda krisis sejak Ahad lalu selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang ekoran keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia keluar daripada gabungan itu.

Seramai 11 orang Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut angkat kaki meninggalkan parti PKR.