Polis tahan lelaki disyaki pengedar dadah

A
A

PENDANG - Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2,000 dalam operasi di Kampung Asam Jawa, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, suspek yang disyaki pengedar berumur 34 tahun ditahan kira-kira pukul 9 malam di kawasan tepi jalan ban kampung terbabit dalam keadaan mencurigakan.

"Selepas berjaya ditahan pemeriksaan pada beg berzip di pinggangnya menemui lima paket plastik berisi serbuk ketulan disyaki heroin seberat 48.40 gram bernilai RM1,812 dan lima paket plastik serbuk hablur jernih disyaki dadah syabu seberat 3.60 gram (RM360),” katanya dalam kenyataan di sini hari ni.

Turut dirampas wang tunai sebanyak RM564 dan seunit alat penimbang digital dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC.

Arriz Sham berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif morfin.

"Kita syaki suspek melakukan pengedaran sejak sebulan lalu dan baharu mendapatkan bekalan untuk dipaket menjadi kecil dan diedarkan kepada penagih di sekitar Pendang,” katanya.

Semakan mendapati dia turut memiliki dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia