Menteri Iran pula positif Covid-19

Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Iraj Harirchi.
Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Iraj Harirchi.
A
A
A

TEHERAN - Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Iraj Harirchi disahkan positif koronavirus (Covid-19) ketika kes jangkitan wabak itu menunjukkan peningakatan mendadak di republik berkenaan.

Harirchi dilaporkan batuk dan berpeluh ketika mengendalikan sidang media mengenai wabak berkenaan.

Pada sidang media itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa terdapat 50 individu maut akibat Covid-19 di bandar Qom dan menyatakan untuk meletak jawatan sekiranya dakwaan berkenaan benar.

Tidak lama selepas itu, Harirchi muncul dalam satu rakaman video mengesahkan beliau dijangkiti virus tersebut.

"Saya juga telah dijangkiti. Saya kini sedang mengasingkan diri dan memulakan rawatan.

"Kita mampu menangani virus ini dalam tempoh beberapa minggu akan datang," katanya.

Iran mengesahkan tiga lagi kematian akibat Covid-19 dan lebih 34 kes jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan korban kepada 15 dan 95 mangsa jangkitan.

Menurut kementerian kesihatan, kebanyakan mangsa yang berada di luar Qom adalah mereka yang mempunyai sejarah berkunjung ke bandar berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada perintah kuarantin dikeluarkan untuk bandar itu.

Menteri Kesihatan, Saeed Namaki mempertahankan langkah itu dan menyifatkan ia sebagai 'cara lama'. - Agensi