Kebijaksanaan Agong selesaikan kemelut politik

Al-Sultan Abdullah - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

SEJAK Ahad lalu, Malaysia diuji lagi. Satu demi satu kejutan bagaikan bom jangka yang amat menggemparkan.

Percaturan, strategi dan gerak langkah politik membawa kepada sesuatu yang tidak pernah terbaca oleh mana-mana pemerhati politik.

Selepas hampir dua hari kita menyaksikan satu naratif politik yang dijangka membawa kepada satu perubahan kuasa, kini semua mata tertumpu kepada institusi diraja.

Sejak dua hari lalu lagi sebenarnya, Yang di-Pertuan Agong sudah berkenan menerima kunjungan pemimpin-pemimpin utama parti politik di Malaysia. Seri Paduka Baginda dipersembahkan sendiri mengenai situasi semasa politik negara.

Malah, dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan, pemimpin-pemimpin berkenaan juga perlu menyatakan sokongan dan gabungan mereka.

Semuanya kini terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan pucuk pimpinan dan pembentukan kerajaan baharu.

Adakah Yang di-Pertuan Agong akan memilih seorang Perdana Menteri baharu atau membubarkan Parlimen bagi membolehkan satu pilihan raya dibuat?

Ternyata, kita memerlukan tindakan seperti kata pepatah menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung juga jangan berterabur.Dalam teka-teki perubahan politik negara, ternyata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggunakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

Artikel Berkaitan:

Biarpun ada sesetengah pihak sebelum ini menganggap pertemuan dengan seorang demi seorang Ahli Parlimen mungkin mengambil masa, Yang di-Pertuan Agong tenang untuk menerima semua Ahli Parlimen masuk ke Istana Negara biarpun ia akan memakan masa sehingga dua hari.

Seri Paduka Baginda mahu mendengar sendiri daripada setiap Ahli Parlimen siapakah pemimpin yang kini disokong mereka.

Yang pasti, seluruh rakyat Malaysia mendoakan dan menantikan dengan penuh sabar apakah akhirnya titah penyelesaian dari Istana.