Menyandar harapan kepada Tun

A
A
A

PERGOLAKAN politik mutakhir ini tiba-tiba menaikkan kembali imej dan persepsi orang ramai kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Episod-episod penuh intrig yang beliau lalui pasti akan dikumpul sebagai bahan kajian ilmiah.

Dr Mahathir yang ramai orang lihat adalah seorang yang tegas, garang, berwawasan, banyak idea hingga digelar ahli politik Machiavelli. Malah, timbul istilah Mahathirisme.

Di sepanjang karier, saya bertuah kerana bukan sahaja berpeluang mendengar ucapan-ucapannya, malah berpeluang berdiskusi dengan beliau. Tidak ramai yang tahu mengenai hal ini. Malah, Tun Mahathir pun tentunya tidak ingat kerana saya juga adalah antara kalangan ratusan mereka yang berpeluang untuk mendengar kata-katanya dalam kumpulan yang kecil.

Pertama kali saya berpeluang mengenali Tun Mahathir secara lebih dekat ialah apabila ke kediamannya di Seri Perdana pada tahun 1982.

Seri Perdana pada waktu itu terletak di Jalan Damansara. Ketika itu saya bertugas di Biro Tatanegara. Lebih kurang 10 orang pegawai biro itu hadir untuk mendengar pandangan serta inspirasi beliau yang pada ketika itu telah melancarkan pelbagai program yang mengejutkan rakyat Malaysia.

Di antara perkara yang memukau fikiran rakyat pada ketika itu ialah apabila beliau mempercepatkan 30 minit waktu di Semenanjung Malaysia. Beliau turut memperkenalkan kad perakam waktu dan tanda nama untuk kakitangan kerajaan. Kemudian, beliau memperkenalkan slogan Bersih, Cekap dan Amanah. Itu belum termasuk kempen Buy British last, Look East Policy, penswastaan dan banyak lagi. Sebagai kakitangan di bawah Jabatan Perdana Menteri, kami perlu faham apa yang beliau ingin lakukan dan menyampaikannya kepada rakyat. Yang menariknya, Dr Mahathir melayani kami semua bukan secara rasmi, malah sebagai tetamu. Setelah menceritakan bagaimana beliau memastikan tahu mengenai industri getah jika mahu berucap pada persidangan getah dunia, beliau turut membawa kami ke basement kediamannya. Di situ, beliau menunjukkan karya kraf yang dibuat sendiri daripada tembaga.

Malah Dr Mahathir turut berkongsi untuk menceritakan dua perkara yang beliau tidak suka lakukan iaitu menggunting rambut dan membuang kuku. Menurutnya, kedua-dua aktiviti itu tidak membolehkan beliau buat kerja lain. Maka fahamlah saya bahawa Dr Mahathir adalah insan biasa.

Melalui pembacaan saya tahu Dr Mahathir amat menjaga pemakanannya. Saya teringat ketika Dr Mahathir menghadiri Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Apakah Tun M Terlalu Tua Untuk Jadi PM?’ yang berlangsung pada 22 Mac 2018. Sebagai Ketua Pengarang pada ketika itu, saya yang pilih tajuk wacana yang kontroversi itu dan ia menjadi kontroversi apabila Dr Mahathir menyatakan sudi untuk hadir untuk mendengar apa yang orang kata mengenai dirinya.

Artikel Berkaitan:

Namun, yang lebih bermakna buat saya ialah momen saya menghidangkan juadah untuk Dr Mahathir. Sambil menyepit segulung roti jala untuknya, saya bertanya, “Satu?” Tun menjawab perlahan, “Satu lagi.” Dr Mahathir hanya mahu kuah karinya. Setelah menceduk dua sudu, saya hendak meletakkan piring roti jala itu ke hadapannya. Tetapi tak jadi apabila terdengar Dr Mahathir berkata, “Lagi...”.

Menyediakan roti jala dan kuah untuk seseorang adalah sesuatu yang biasa. Tetapi menyediakannya untuk Dr Mahathir adalah suatu momen yang begitu membahagiakan. Dalam kesibukan beliau diiringi oleh pengawal peribadi dan pegawai dan sesiapa sahaja, saya berpeluang untuk menghidangkan roti jala untuk Dr Mahathir. Saya berasa seperti menyediakan hidangan buat ayah saya.

Bayangkan. Betapa pada saat-saat ini Dr Mahathir bersendirian berdepan dengan kemelut politik. Meskipun dimamah usia, beliau masih tenang menghadapi gelora dan badai politik. Dengan tulang, daging dan kulit yang uzur, dia masih melangkah untuk menyelamatkan kita semua. Janganlah persoal dan perlekehkan dia lagi. Cukup-cukuplah.

Meskipun dimamah usia, beliau masih tenang menghadapi gelora dan badai politik.”