Covid-19 berpotensi jadi pandemik tapi boleh dibendung: WHO

Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
A
A
A

GENEVA - Ancaman koronavirus (Covid-10) boleh ditewaskan dan masih terlalu awal untuk mengisytiharkannya sebagai pandemik meskipun ia berpotensi untuk mencapai tahap itu.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan, mesej utama yang harus disampaikan kepada semua negara adalah harapan, galakan dan keyakinan bahawa virus itu pasti dapat dibendung.

"Penggunaan perkataan pandemik kini tidak sesuai kerana ia akan menyebabkan ketakutan memandangkan jumlah kes jangkitan antarabangsa terus meningkat dan pasaran kewangan yang tidak stabil.

"Kita perlu memberi tumpuan kepada pembendungan wabak dan pada masa sama melakukan apa sahaja yang perlu sebagai persediaan untuk menghadapi potensi pandemik," katanya.

Walaupun wabak memuncak di China tetapi bagi tempoh antara 23 Januari dan 2 Februari lalu, jumlah kes baharu yang dicatatkan di negara itu menunjukkan penurunan.

Ghebreyesus berkata, peningkatan kes secara tiba-tiba di Itali, Iran dan Korea Selatan adalah sangat membimbangkan namun buat masa ini pihak berkuasa tidak melihat penyebaran virus yang tidak terkawal atau sebarang kes yang serius dan kematian meluas.

"Adakah virus ini mempunyai potensi pandemik? Ya. Adakah kita telah sampai ke tahap itu? Pada penilaian kami, belum lagi," katanya.

Ketakutan terhadap pandemik semakin melonjak selepas peningkatan yang ketara dalam kes baharu yang dilaporkan di Iran, Itali dan Korea Selatan.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan angka kes di bahagian lain di di dunia mendorong pihak berkuasa negara terbabit melakukan langkah sama seperti China iaitu mengkuarantin penduduk bagi mencegah penularan virus.

Pihak berkuasa Itali mengeluarkan arahan menutup 11 bandar di negara itu dan Korea Selatan juga mengarahkan keseluruhan 2.5 juta penduduk di bandar Daegu untuk tidak keluar rumah.

Penyebaran Covid-19 terus berlanjutan apabila Afghanistan, Bahrain, Iraq, Kuwait dan Oman mengesahkan kes jangkitan pertama mereka kelmarin.

Meskipun begitu, China dilaporkan melonggarkan sekatan terhadap pergerakan di beberapa tempat termasuk Beijing berikutan kadar jangkitan baharu yang berkurangan.

Selain itu, pemerintah China meneruskan langkah pencegahan apabila mesyuarat Parlimen tahunan ditangguhkan buat kali pertama kelmarin dalam tempoh beberapa dekad.

Bulan lalu, WHO mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam, tahap penggera tertinggi badan kesihatan itu susulan kebimbangan antarabangsa apabila terdapat kurang 100 kes di luar China dan lapan kes jangkitan Covid-19 manusia ke manusia.

Sebelum ini, WHO yang berpangkalan di Geneva, Switzerland mengisytiharkan wabak selesema babi H1N1 pada 2009 sebagai pandemik tetapi sebaliknya berlaku apabila ia semakin reda.

Amaran pandemik yang dikeluarkan WHO itu mencetuskan kritikan apabila ia menyebabkan syarikat farmaseutikal bergegas untuk membangunkan vaksin dan ubat.

Penetapan tersebut yang masih berlangsung adalah bertujuan untuk membantu negara dengan sistem kesihatan yang lemah bagi meningkatkan pertahanan mereka terutamanya di Afrika. - Agensi