Polis siasat penganjur himpunan di Dataran Merdeka

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan menyiasat penganjur himpunan di Dataran Merdeka di sini malam ini kerana tiada notis makluman diserahkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, siasatan dibuka di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

"Kita akan mengenal pasti penganjur perhimpunan berkenaan dan memanggil pihak terbabit untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Perhimpunan yang diadakan di Dataran Merdeka itu bertujuan untuk meluahkan rasa kecewa terhadap situasi politik semasa ketika ini.

Sebelum itu, satu poster mengenai 'Demonstrasi mati, Ayuh turun ke Jalan' itu memaparkan slogan 'Rakyat mandiri! Nasib kita bukan dalam tangan para politikus' tular di media sosial hari ini.

Sementara itu, peguam aktivis, Fadiah Nadwa Fikri berkata, individu yang hadir pada himpunan berkenaan tidak mewakili mana-mana parti politik dan hanya menyuarakan perjuangan rakyat.

“Kami terdiri daripada rakan-rakan aktivis serta masyarakat yang prihatin akan mengambil langkah-langkah berterusan bagi menunjukkan kuasa rakyat.

“Ahli politik hanya meraih simpati rakyat untuk mengundi mereka sebelum pilihan raya, namun mereka akan melupakannya selepas itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati beberapa individu yang hadir perhimpunan berkenaan menaburkan bunga dan menyalakan lilin sebagai simbolik tanda protes sambil melaungkan ‘politikus bunuh demokrasi negara’.

ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan di Dataran Merdeka suram

Ada beberapa individu dipercayai mewakili badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan mahasiswa turut membuat ucapan dalam perhimpunan itu.

Dianggarkan kira-kira 150 individu hadir dalam perhimpunan berkenaan yang mula berkumpul jam 8.30 malam tadi dan dilihat mula bersurai dari lokasi itu kira-kira jam 10 malam tadi.