Rumah Putih mohon RM11 bilion perangi Covid-19

Donald Trump. - Foto AFP
Donald Trump. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Rumah Putih merancang untuk membelanjakan sejumlah AS$2.5 bilion (RM11 bilion) untuk memerangi ancaman koronavirus (Covid-19) yang menyerang lebih 20 negara dunia.

Washington Post melaporkan, dalam permintaannya kepada Kongres Amerika Syarikat (AS), pentadbiran Presiden Donald Trump turut memohon AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) bagi perbelanjaan kecemasan.

Permintaan itu adalah untuk pembiayaan baharu bagi Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia melibatkan nilai AS$1.25 (RM5.28 bilion) serta pemindahan tambahan AS$535 juta (RM2.2 bilion) yang pada asalnya diperuntukkan untuk memerangi Ebola.

Menurut Rumah Putih, ia juga mungkin akan mendapatkan wang tambahan daripada agensi lain di seluruh kerajaan termasuk pembiayaan semula Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia berjumlah AS$2.5 bilion (RM11 bilion).

Bagaimanapun, Demokrat membantah permohonan itu kerana terlalu rendah dan Dewan Jawatankuasa Peruntukan turut mengeluarkan kenyataan dengan menyifatkan ia sangat tidak mencukupi.

"Meskipun terdapat amaran segera daripada Kongres dan komuniti kesihatan awam, pentadbiran Trump mengambil masa selama beberapa minggu sebelum memohon dana kecemasan ini," kata ketua jawatankuasa itu, Nita Lowey.

Dana akan dibelanjakan untuk bidang seperti ujian makmal, kuarantin, penyelidikan dan pembangunan vaksin serta menyokong negara terjejas. - AFP

Artikel Berkaitan: