Paksa ustazah merangkak tindakan kurang ajar!

Peguam dikenali sebagai Nurhidayaty mengemaskini kejadian selepas berjaya menghubungi guru dan penyelia sekolah terbabit.
Peguam dikenali sebagai Nurhidayaty mengemaskini kejadian selepas berjaya menghubungi guru dan penyelia sekolah terbabit.
A
A
A

IPOH - Tindakan seorang wanita memaksa seorang ustazah sebuah sekolah agama merangkak dalam kelas disifatkan warganet sebagai kurang ajar.

Video berdurasi dua minit 17 saat itu telah tular di laman sosial, hari ini.

Rakaman itu dimuat naik seorang pengguna Facebook bersama status yang menunjukkan rasa kesalnya dengan kejadian itu.

"Cukup kurang ajar sebagai parent (ibu bapa) awak telah menghancurkan hati semua guru di seluruh dunia. Haramkan setitik doa dan ilmu utk anakmu.

"Mana Jabatan Pendidikan Malaysia, sila ambil tindakan buat insan ini. Kalau awak sendiri rasa tersangat hebat sila ambil masa seminggu handle (uruskan) sahaja kelas, handle kerenah anak-anak murid," katanya.

Menerusi rakaman itu, tanpa diketahui sebabnya, wanita berkenaan seolah-olah tidak berpuas hati tindakan guru berkenaan.

Dipercayai anaknya telah cedera sehingga menimbulkan rasa takut untuk hadir sekolah.

Difahamkan kejadian itu berlaku di sebuah sekolah agama di Sungai Sumun, Bagan Datuk, minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu perkongsian lain, seorang peguam, Nurhidayaty Maidin menerusi Facebooknya telah mengemaskini perkembangan baharu kejadian itu selepas berjaya menghubungi guru dan penyelia sekolah.

Katanya, guru dan sekolah telah bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu dengan cara baik dan tidak mahu ia berpanjangan.

"Namun sebagai pengajaran supaya insiden ini tidak berulang, saya mencadangkan agar pihak sekolah menyediakan beberapa dokumen penting yang perlu ditandatangani oleh si ibu.

"Jangan sekadar ucapan maaf seperti musim raya. Perlu disertakan dengan dokumen undang-undang. Saya telah hulurkan diri untuk pantau proses ini," katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapatkan kenyataan daripada pihak Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) gagal.