Anwar perlu talian hayat politik baharu

 Anwar yang dicanangkan sebagai pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri perlu mendapat sokongan majoriti daripada 222 orang Ahli Parlimen untuk dibuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Anwar yang dicanangkan sebagai pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri perlu mendapat sokongan majoriti daripada 222 orang Ahli Parlimen untuk dibuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong.
A
A
A

CITA-CITA Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri masih ada walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh ekoran keretakan yang berlaku dalam gabungan parti berkenaan.

Ini kerana Anwar yang dicanangkan sebagai pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri perlu mendapat sokongan majoriti daripada 222 orang Ahli Parlimen untuk dibuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohammad Fuad Othman berpandangan bahawa tugas itu bukanlah satu kerja mudah, namun tidak mustahil buat Anwar mendapat sokongan sama seperti sokongan terhadap Dr Mahathir.

Mengambil contoh apa yang berlaku dalam PH, beliau menegaskan, tidak mustahil kejadian itu tidak akan berulang terhadap pakatan politik baharu yang memerintah negara.

Jadi, peluang berkenaan boleh dimiliki oleh Anwar untuk meraih sokongan supaya cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri terlaksana.

“Semuanya berbalik kepada sokongan. Adakah Anwar mempunyai sokongan yang sama rata? Sokongan itu tidak semestinya padu tetapi sokongan majoriti mudah ahli dewan untuk melayakkan beliau menjadi Perdana Menteri.

“Oleh kerana sistem kita ini ia melihat kepada nombor, kalau Anwar tidak dapat menunjukkan sokongan yang mencukupi, maka peluang untuk menjadi Perdana Menteri nampak semakin hari semakin suram,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Bagaimanapun, menurut Mohammad Fuad politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sukar diramal dan sering memberi kejutan kepada semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pakatan politik negara tidak menunjukkan sesuatu parti memiliki jumlah kedudukan kerusi yang dominan dan ini boleh memberi peluang kepada Anwar untuk meraih sokongan terhadap dirinya.

“Stabiliti dalam parti politik tidak ada. Apa yang berlaku pada hari ini, khususnya pada pasca PRU14, tidak ada satu-satu parti yang begitu kuat.

“Kalau kita lihat pakatan dalam PH, ia sangat rapuh. Ia sangat rapuh dari segi aspek matlamat sama tetapi cita-cita tidak sama. Parti Keadilan Rakyat (PKR) ada matlamatnya, DAP ada matlamat ia. Jadi ia tidak boleh mengharmonikan pakatan.

“Kalau kita lihat Barisan Nasional (BN), selama 60 tahun, pertamanya mereka mempunyai pengalaman politik yang lama, yang kedua, dia ada jumlah besar Ahli Parlimen. UMNO itu dia adalah parti yang dominan. Dalam membuat keputusan dia senang. Kalau dalam PH, Dr Mahathir pun datang daripada parti yang minoriti,” katanya.Aura Anwar

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis pula berpandangan, sekiranya takdir menetapkan Anwar menjadi Perdana Menteri, tiada siapa boleh menafikan perkara tersebut.

Menurutnya, kesihatan Ahli Parlimen Port Dickson itu juga dilihat masih baik dan beliau optimis Anwar mampu memegang jawatan tersebut sekiranya mandat diberikan kepada beliau.

Meskipun nadanya kelihatan positif, namun Mujibu berpendapat aura Anwar masih belum cukup kuat untuk menandingi aura Dr Mahathir untuk diangkat menjadi Perdana Menteri meskipun Anwar mempunyai personaliti menarik.

“Saya nampak selepas Anwar mencuba dua kali pada 2008 dan 2013, mungkin dia tidak ada aura seperti Dr Mahathir untuk jadi Perdana Menteri, itu yang saya perhatikan.

“Kalau kita lihat PRU12 dan PRU13 ketika Anwar mengetuai Pakatan Rakyat, pakatan itu dilihat tidak begitu nak kuat. Jadi, beliau terpaksa juga guna pengaruh Dr Mahathir dan barulah PH menang dalam PRU14.

“Anwar personalitinya memang menarik tetapi pemikiran, gaya, stail Anwar ini walaupun liberal dan moderat, dia gagal untuk menarik pengundi utama seperti Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, ia berbeza dengan Dr Mahathir yang tidak mempunyai gaya, karisma dan penampilan seperti Anwar tapi beliau memiliki karakter yang diyakini orang Melayu bahkan dengan orang bukan Melayu juga.

“Atas faktor itulah yang saya rasakan ia beri kelebihan kepada Dr Mahathir berbanding Anwar. Tetapi kita tak boleh berkata begitu sepenuhnya, terutamanya mengambil kira PRU15 akan ada pengundi generasi baru, muda, jadi pertandingan kembali terbuka.

“Tapi sejauh mana perkara itu (menang PRU15) boleh dilaksanakan Anwar dan PH kalau masih wujud pada ketika itu, kita perlu tunggu pada waktu itu,” katanya.

Bergerak ke depan, Mujibu menjangkakan Presiden PKR itu akan terus memainkan peranan mengukuhkan partinya, namun beliau harus berhati-hati terutamanya dalam menyusun semula gerakan dalam PH.

“Sudah tentu ada dua perkara yang saya lihat sepatutnya berlaku. Pertama, bagaimana untuk mengukuhkan PH, memperkemas dan susun gerakan supaya menjadi satu blok pembangkang yang nampak kolektif dan berkesan.

“Kedua, mengekalkan momentum penerimaan PH yang diterima baik pada 2018 supaya kalau ada PRU atau bawa ke PRU15, PH boleh menyaingi perikatan baharu yang bakal dibuat oleh Dr Mahathir,” katanya.

Mengulas lanjut, Mujibu menegaskan banyak perkara perlu dibaiki PH kerana selepas hampir dua tahun memerintah negara, banyak kelemahan mereka terdedah kepada umum termasuklah melibatkan prestasi menteri, pergeseran dalaman hatta manifesto yang tidak ditunaikan.

Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, mudah atau tidak untuk Anwar menjadi Perdana Menteri adalah bergantung kepada sokongan Ahli Parlimen.

“Mudah tidak mudah ia bergantung kepada cukup bilangan atau tidak. Kalau Anwar ada bilangan yang mencukupi di Dewan Rakyat, maka beliau boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk beliau menunjukkan sokongan yang mencukupi,” katanya.