PAWE platform keharmonian kaum

Ahli PAWE bekerjasama menyiapkan pondok.
Ahli PAWE bekerjasama menyiapkan pondok.
A
A
A

KANGAR - Kewujudan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Perlis dilihat mampu menjadi platform dalam mengukuhkan keharmonian kaum.

Pengerusi PAWE Jejawi, Saadiah Habil berkata, pertubuhan itu diwujudkan bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis.

Saadiah berkata, namun begitu pergerakan PAWE dinaungi bawah NGO iaitu Persatuan Persara Kerajaan Bahagian Negeri Perlis dan juga Majlis kebajikan Masyarakat Negeri Perlis.

"Kepelbagaian aktiviti yang terdapat di PAWE membolehkan mereka yang bertandang mengisi kekosongan masa dengan perkara yang berfaedah dan sihat," katanya.

Menurut Saadiah, terdapat 443 individu yang berdaftar di PAWE Jejawi dengan jumlah kaum Melayu (411 orang), Cina (20 orang) manakala kaum India dan Siam masing-masing disertai seramai enam orang.

"Kesemua mereka tidak datang secara serentak setiap hari, namun memilih hari tertentu untuk datang menjalankan aktiviti di PAWE.

"Sehari ada dalam 15 hingga 20 orang yang datang daripada latar belakang kaum yang berbeza untuk menjalankan aktiviti di sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saadiah
Saadiah

Menurut Saadiah, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti seperti bercucuk tanam; beriadah; sambutan hari lahir dan pelbagai lagi.

"Kedatangan ahli PAWE yang terdiri daripada pelbagai latar belakang memeriahkan lagi pusat berkenaan.

"Ada dalam kalangan mereka yang sebelum ini tidak pernah mengikuti aktiviti seperti ini dan ini merupakan kali pertama dan ternyata mereka begitu teruja.

"Di PAWE, kita mementingkan konsep bekerjasama walau apa jua aktiviti yang kita laksanakan antaranya ialah berkebun," katanya.

Menurut Saadiah, untuk aktiviti berkebun mereka akan dibahagikan kumpulan mengikut perbezaan kaum dan diminta untuk menanam sayuran yang menjadi pilihan mereka.

"Melalui proses tanaman itu mereka harus bekerjasama dalam memastikan ia nya tumbuh dengan sihat dan baik," katanya.

Ahli PAWE berkerjasama menanam sayuran.
Ahli PAWE berkerjasama menanam sayuran.

Selain daripada aktiviti di PAWE, warga emas di situ turut menjalankan program luar seperti sambutan perayaan.

"Setiap tahun kita akan menyambut sambutan perayaan setiap kaum dan kita akan bersepakat untuk hadir di rumah mereka yang rela hati menjadi tuan rumah," katanya.

Lazimnya, mereka yang datang ke PAWE akan meluangkan masa sehingga waktu petang dan ia mampu menghalang warga emas daripada kesunyian dan tidak melakukan sebarang aktiviti di rumah ketika anak keluar bekerja.

Istimewanya, PAWE tidak mengenakan sebarang bayaran kepada mereka dengan syarat usia mereka 60 tahun ke atas.

Saadiah berkata, kewujudan PAWE adalah usaha bijak dalam membangunkan nilai positif dalam diri warga emas.

"Usia hanyalah angka kerana setiap warga emas mempunyai potensi untuk dibangunkan serta mereka bukan bebanan pada anak atau negara.

"Tidak dapat dinafikan lagi kewujudan platform PAWE mampu menyatukan hati kesemua warga emas meskipun mereka dari latar belakang kaum yang berbeza," katanya.

Ahli PAWE Perlis meriah menyambut sambutan Deepavali.
Ahli PAWE Perlis meriah menyambut sambutan Deepavali.