X

Kindly register in order to view this article
!

Perjanjian RM12 bilion AS-India

Trump (kiri) berjabat tangan dengan Modi di Stadium Sardar Patel di Motera, Ahmedabad, India hari ini. - Foto AFP
A
A

NEW DELHI - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini mengumumkan bakal menandatangani perjanjian pertahanan antara Washington dan India bernilai AS$3 bilion (RM12.67 bilion).

Indian Express melaporkan, Trump turut mengumumkan bahawa kedua-dua negara itu sedang giat merencanakan persepakatan perdagangan terbesar.

Selain itu, jutawan hartanah terbabit turut menyifatkan Perdana Menteri India, Narendra Modi sebagai seorang yang tegas ketika berunding.

"AS sangat teruja untuk menyediakan India dengan beberapa peralatan ketenteraan terbaik dan paling ditakuti di planet ini. Kami menghasilkan senjata paling hebat dan kini kami akan menjadi rakan kongsi India.

"India mempunyai tempat yang istimewa di hati AS. Kami menyayangi dan menghormati India. AS juga akan sentiasa menjadi kawan yang setia buat negara ini dan rakyatnya," kata Trump ketika berucap di hadapan kira-kira 100,000 orang di stadium kriket terbesar dunia di barat India.

Trump mendarat di bandar Ahmedabad kira-kira jam 11.40 pagi tadi (waktu tempatan) pada permulaan lawatan sulungnya di mana kedua-dua pihak berhasrat untuk menetapkan semula hubungan yang terjejas akibat pertikaian perdagangan.

India dan AS telah membina hubungan politik dan keselamatan yang rapat dan lawatan dua hari Trump ke negara itu menjadi tanda kerjasama mereka termasuk menentang kebangkitan China sebagai kuasa besar.

Modi berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Trump dan isterinya, Melania sejurus mereka turun dari pesawat Air Force One.

"Kami bersedia untuk datang ke India, kami dalam perjalanan. Kami akan bertemu dengan semua orang dalam beberapa jam lagi," tulis Trump dalam bahasa Hindi di Twitter sebelum mendarat.

Beberapa jam sebelum ketibaan Trump di India, rusuhan ganas tercetus di ibu negara selepas ribuan penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah undang-undang kewarganegaraan yang telah berlanjutan di beberapa bahagian di New Delhi sejak dua bulan lalu.

Akta Pindaan Kewarganegaraan India yang disifatkan sebagai anti Islam itu membolehkan kerakyatan diberikan kepada orang bukan Islam dari negara jiran Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan. - Agensi