Gerakan belum terima permohonan Azmin

Dominic
Dominic
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) memaklumkan setakat ini parti itu masih belum menerima borang permohonan keahlian daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata, beliau juga belum memberikan kata putus sama ada akan menerima bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan penyokongnya menyertai parti itu ataupun tidak.

“Sampai sekarang belum terima borang permohonan,” katanya sebelum mempengerusikan mesyuarat tergempar parti itu di sini petang tadi.

Dominic sebaliknya berkata, pihaknya akan menerima sesiapa sahaja yang akur dengan ideologi parti, hormat pada undang-undang tubuh parti dan berjuang untuk rakyat.

Selain itu, beliau berkata, Gerakan mengadakan mesyuarat tergempar petang tadi untuk membincangkan antara lain sama ada menerima permohonan keahlian Mohamed Azmin dan pengikutnya serta perkembangan semasa politik negara.

Gerakan pernah menjadi parti komponen utama Barisan Nasional (BN) sehingga tahun 2018.

Bagaimanapun, sejak parti itu dikalahkan di kubu kuatnya di Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Umum 2018, prestasi Gerakan terus menjunam dan parti itu kini tidak mempunyai seorang pun ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin, Zuraida dipecat dari PKR

Artikel Berkaitan:

Seramai 11 ahli Parlimen PKR umum keluar parti