Tindakan Dr Mahathir lepas jawatan langkah terbaik

Razali
Razali
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan kekusutan politik negara.

Pengerusi Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, dengan langkah itu, kini kuasa untuk melantik Perdana Menteri bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan undang-undang.

"Sekarang ini, kita menyokong penuh sesiapa sahaja yang dipilih oleh Tuanku untuk menerajui kerajaan.

"Apabila Presiden (Bersatu) umum sudah keluar daripada Pakatan Harapan (PH), mungkin akan ada satu gabungan baharu.

"Kita akan tengok siapa yang ada majoriti yang lebih sebagai Ahli Parlimen, sama ada PH atau gabungan baharu. Maka kalau kita ikut 'rule of law', pihak yang mendapat sokongan majoriti yang mencadangkan siapa yang akan menjadi perdana menteri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, proses untuk melantik Perdana Menteri mungkin akan mengambil masa yang panjang kerana tiada mana-mana parti yang mempunyai majoriti.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir tiba di Istana Negara

Anwar puas hati pertemuan dengan Dr Mahathir

Anwar Ibrahim tiba di Ibu Pejabat PKR

Artikel Berkaitan:

Wan Azizah kini berada di PMO

Anwar, Guan Eng susuli Wan Azizah ke PMO

Anwar, Wan Azizah dijadual menghadap Agong

Menteri Kabinet tinggalkan PMO

Katanya, mungkin akan ada surat akuan bersumpah (SD) atau Tuanku memanggil Ahli Parlimen seorang demi seorang dalam melantik Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti.

"Saya rasa perkara ini akan selesai sebelum Parlimen bersidang bulan depan.

"Saya tidak rasa akan ada pembubaran Parlimen kerana yang berhak membubarkan Parlimen adalah Yang di-Pertuan Agong, tapi melalui nasihat Perdana Menteri. Tapi Perdana Menteri sudah meletak jawatan, bagaimanapun ia terpulang kepada Tuanku," katanya.

Sementara itu, Razali berkata, kepimpinan dan ahli Bersatu akan terus menyokong Dr Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, sekiranya gabungan baharu mendapat mandat untuk membentuk kerajaan dan memilih sesiapa sahaja termasuk Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, mereka sedia menerimanya.