Tunggu, lihat perkembangan politik tanah air

Kenderaan yang dipercayai membawa Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
Kenderaan yang dipercayai membawa Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat sedang menunggu dan melihat perkembangan politik tanah air hari ini bagi mencari jawapan terhadap desas-desus berhubung pengaturan semula landskap politik negara.

Setakat jam10 pagi ini, belum ada pengumuman atau sidang media bagi menjelaskan perkara itu.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada jam 2 petang nanti manakala DAP pula dilaporkan akan mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat di ibu pejabatnya di di sini pada jam 11 pagi.

Semalam, perkembangan politik tanah air menyaksikan beberapa pemimpin dari Bersatu, PKR, UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak, dan Warisan masing-masing mengadakan mesyuarat secara berasingan di ibu negara dan Petaling Jaya, membuatkan timbul spekulasi ia dipercayai ada kaitan dengan pengaturan semula landskap politik negara.

Ini ditambah kenderaan membawa puluhan pemimpin itu kelihatan memasuki kawasan Istana Negara pada sebelah petang semalam.

Desas-desus itu bertambah hangat pada sebelah malamnya apabila ada pemimpin dari Bersatu, PKR, UMNO, MCA, MIC dan Pas menghadiri satu majlis makan malam di sebuah hotel di sini.

Kenderaan membawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kelihatan memasuki pekarangan Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada jam 8.50 pagi.

Bangunan Perdana Putra menempatkan pejabat Perdana Menteri dan pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Kenderaan membawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula kelihatan memasuki pekarangan Bangunan Perdana Putra pada jam 9.26 pagi. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Wan Azizah kini berada di PMO

Anwar, Guan Eng susuli Wan Azizah ke PMO

Anwar, Wan Azizah dijadual menghadap Agong

Menteri Kabinet tinggalkan PMO