Mas Ermieyati tewaskan Mohd Redzuan

Mas Ermieyati (kiri) memperoleh 414 undi manakala Mohd Redzuan 328 (kiri). Gambar kanan: Mohd Redzuan Md Yusof
Mas Ermieyati (kiri) memperoleh 414 undi manakala Mohd Redzuan 328 (kiri). Gambar kanan: Mohd Redzuan Md Yusof
A
A
A

ALOR GAJAH - Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berjaya menewaskan Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dalam pemilihan Ketua Bahagian Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) Masjid Tanah.

Keputusan diumumkan pada jam 2 pagi tadi oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) di Dewan Belia dan Sukan Masjid Tanah.

Ia menyaksikan pemilihan tiga penjuru yang akhirnya memihak kepada Mas Ermieyati selepas memperoleh 414 undi manakala Mohd Redzuan 328 undi dan bekas Setiausaha Bersatu bahagian, A Lukman Ab Ghani hanya memperoleh 227 undi.

Jawatan Timbalan Ketua Bahagian dimenangi Nasri Ramli dengan 441 undi, Naib Ketua Bahagian Rozamri Kambol dengan 427 undi manakala jawatan Ketua Armada bahagian di menangi Abdul Iman Jamaludddin dan Ketua Srikandi, Zafaizah Ab Lah.

Mas Ermieyati berkata, perkara pertama yang akan dilakukan selepas ini adalah untuk menyusun dan mengisi senarai ahli jawatankuasa bagi memantapkan dan menyusun hala tuju Bersatu bahagian itu bagi sesi 2019 hingga 2023.

Menurutnya, beberapa pengisian untuk memperkasa ahli parti akan dilakukan termasuk 'team building dan 'brainstorming' bagi mempereratkan ukhuwah serta merapatkan hubungan silaturrahim barisan jentera baharu itu.

"Alhamdulillah syukur dengan kemenangan ini dan terima kasih kepada penyokong, jentera dan sukarelawan bukan hanya untuk saya sahaja tetapi seluruh pasukan saya untuk pemilihan kali ini.

"Team Building dan perbincangan itu turut akan melibatkan semua ahli jawatankuasa, bahagian Armada dan Srikandi serta cawangan yang terlibat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Sinar Harian menyiarkan keputusan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk bertanding jawatan ketua pada pemilihan Bahagian Bersatu Masjid Tanah bukan mahu memecahbelahkan parti.

"Orang cakap saya nak robohkan 'rumah' itu tidak benar, rumah ini cantik tiang serinya elok tapi tingkapnya dah kotor pintu dah longgar dah gebeng, dalamnya bersepah.

"Maka saya tawarkan diri bersama kawan-kawan nak masuk dalam rumah ini nak betulkan tingkap, bersihkan habuk bukannya nak robohkan tapi nak cantik supaya ada seri, orang lain akan datang masuk," katanya.