Pengusaha ikan patin Temerloh bakal dapat lubuk rezeki

Keenakan ikan patin dari Pahang terutamanya dari Temerloh perlu digunakan sebaik mungkin bagi meneroka pasaran luar
Keenakan ikan patin dari Pahang terutamanya dari Temerloh perlu digunakan sebaik mungkin bagi meneroka pasaran luar
A
A
A

TEMERLOH - Pengusaha ikan sangkar menganggap hasrat kerajaan Pahang untuk mempergiatkan eksport ikan patin dari Temerloh sebagai 'lubuk emas' mereka bagi melonjakkan pendapatan dan rezeki dalam bidang tersebut.

Syed Ismail Syed Abdul Rahim, 44, dari Kampung Teluk Ria di sini berkata, hasrat kerajaan negeri untuk mengeksport ikan itu ke peringkat global membuka peluang keemasan kepada penternak ikan patin kerana mereka tidak lagi hanya bergantung kepada pasaran tempatan.

"Ini peluang terbaik kerana penternak boleh mendapatkan harga ikan yang lebih baik terutama ketika berlaku lambakan penawaran ikan patin. Buat masa ini kami terpaksa menjualnya sendiri.

"Jika ada tempat khusus yang boleh mengambil bekalan ikan, rasanya tiada masalah untuk mendapatkan bekalan kerana selepas ini dipercayai ramai pengusaha yang akan menternak ikan patin," katanya.

Menurut pengusaha tersebut, jika benar langkah pengeksportan ikan itu dilaksanakan ia juga bakal memberikan impak positif terhadap industri penternakan ikan patin di Pahang apatah lagi dengan adanya kerjasama semua pihak termasuk daripada kerajaan negeri.

"Sudah pasti kerajaan negeri akan membantu dengan memastikan sungai lebih terpelihara serta mengelakkan aktiviti yang boleh menjejaskan kualiti ikan patin dari negeri ini bagi tujuan eksport," katanya yang memiliki 50 buah sangkar sejak menceburi bidang itu pada 1999.

Pengusaha sangkar ikan patin di Sungai Pahang di Temerloh alu-alukan hasrat kerajaan negeri untuk membawa keluar ikan itu bagi pasaran antarabangsa
Pengusaha sangkar ikan patin di Sungai Pahang di Temerloh alu-alukan hasrat kerajaan negeri untuk membawa keluar ikan itu bagi pasaran antarabangsa

Berkongsi pandangan yang sama, pengusaha ikan patin dari Kampung Buntut Pulau, Muhammad Ashraf Zulkifly, 35, juga mengalu-alukan hasrat kerajaan negeri itu walaupun tahu langkah berkenaan pastinya memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Kerana ia bergantung kepada jumlah bekalan ikan sama ada boleh memenuhi kehendak eksport atau sebaliknya. Kalau untuk pasaran Temerloh pun tak cukup macam mana nak eksport.

"Buat masa ini rasanya masih 'tak lepas' untuk pasaran antarabangsa, namun saya akui ia peluang terbaik untuk memasarkan dan memperkenalkan keenakan ikan patin Temerloh kepada masyarakat antarabangsa," katanya.

Semalam Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi akaun Facebook rasmi miliknya, menyatakan hasrat sedemikian berdasarkan potensi ikan patin Temerloh di pasaran antarabangsa khususnya di Timur Tengah.

Pahang sebagai negeri yang sinonim dengan ikan patin perlu menggunakan peluang tersebut untuk menjadi pembekal selain menonjolkan kualiti ikan keluaran negeri berkenaan yang diakui enak selain menjadi tumpuan penggemar ikan patin atau nama saintifiknya, pangasius.

Ikan patin Temerloh.
Ikan patin Temerloh.