Sekolah satu aliran mampu bantu perkasakan perpaduan kaum

Kim Jim bangga dengan kebolehan ayahnya menulis jawi yang masih dipraktikkan sehingga kini.
Kim Jim bangga dengan kebolehan ayahnya menulis jawi yang masih dipraktikkan sehingga kini.
A
A
A

PASIR MAS - Kewujudan sekolah satu aliran merupakan kunci terbaik dalam memperkasakan perpaduan kaum yang kelihatan semakin rapuh hari ini.

Perkara itu diakui seorang warga emas, Owee Ching Iyu, 78, yang mahir menulis jawi dari Kampung Sakar di sini.

Ching Iyu berkata, sekolah pelbagai aliran yang diwujudkan British ketika mentadbir negara ini sebelum mencapai kemerdekaan telah menyebabkan berlakunya perpecahan kaum.

“Kesan itu sudah boleh dilihat pada hari ini. Justeru, saya berpandangan sudah tiba masanya kita wujudkan sekolah satu aliran dalam usaha memperkasakan semula perpaduan kaum.

“Bila perpaduan kaum sudah kukuh secara tidak langsung kita mampu membentuk identiti nasional di bawah bangsa Malaysia,” katanya.

Menurutnya, melalui sekolah satu aliran itu semua kaum dapat mempelajari sosial budaya sekali gus menjadi jambatan penghubung ke arah merealisasikan pembentukan bangsa Malaysia.

“Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tendong pada tahun 1951. Bila kami saling bergaul, saya dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih dan membaca serta menulis jawi.

“Sampai sekarang pun saya masih berkawan dan minum kopi bersama kawan-kawan Melayu dengan penuh harmoni," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sudah tiba masanya usaha itu digerakkan bagi memastikan generasi masa hadapan dapat membentuk perpaduan lebih kukuh dan harmoni.

“Walaupun saya mendapat pendidikan di sekolah Melayu, saya juga masih boleh bertutur dalam bahasa Cina,” katanya.

Tulisan jawi Chin Iyu yang kemas dan cantik.
Tulisan jawi Chin Iyu yang kemas dan cantik.

Ching Iyu berkata, dia sedikit terkilan apabila ada anak-anak kaum Cina di negara ini gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik walaupun mereka lahir di Malaysia.

“Identiti Cina sama sekali tidak akan hilang walaupun mereka fasih bertutur dalam bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, anaknya, Owee Kim Jim, 56, yang juga seorang guru bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Tanjong Bunga, Pasir Mas turut senada dengan bapanya.

“Sebab itulah saya amat setuju jika sekolah satu aliran diwujudkan bagi merealisasikan pembentukan bangsa Malaysia dalam mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini,” katanya.