Tarikan unik jerami gulung KKDK


Anak-anak muda turut mengabadikan kenangan bersama motosikal masing-masing di jerami gulung.
Anak-anak muda turut mengabadikan kenangan bersama motosikal masing-masing di jerami gulung.
A
A
A

YAN - Kesepakatan golongan belia berjaya membawa nama Kampung Kuala Dulang Kecil (KKDK) hingga lebih dikenali sebagai lokasi menarik untuk dikunjungi oleh orang ramai kerana menampilkan keindahan jerami gulung.

Mengetengahkan konsep jerami gulung dengan pemandangan berlatarbelakangkan Gunung Jerai, kampung tersebut menjadi tular apabila rata-rata orang ramai berkongsi gambar menarik dan kecantikan pemandangan di lokasi tersebut.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kuala Dulang Kecil, Ismail Md Zain berkata, dia tidak menyangka kampung berkenaan kini terkenal dan menjadi tumpuan pengunjung setiap hari terutama pada waktu petang.

Bercerita lanjut mengenai permulaan jerami gulung KKDK itu, Ismail berkata, seperti biasa selepas padi dituai, penduduk kampung akan menggunakan mesin penggulung jerami bagi mengurangkan pembakaran terbuka.

“Selepas jerami siap digulung, saya meminta mereka tinggalkan sedikit gulungan jerami di situ, tetapi mengikut prosedur jerami berkenaan perlu dibawa pulang ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi memastikan kualitinya terjamin.

“Jadi selepas berbincang dengan penduduk kampung, kami sepakat untuk membeli 30 gulung jerami supaya boleh ditempatkan secara kekal di kampung kami,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Port bergambar

Menurutnya, pada mulanya jerami itu hanya untuk penduduk kampung mengambil gambar kenangan selepas aktiviti menuai padi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun selepas melihat ia makin mendapat sambutan, belia kampung bercadang menghasilkan pelbagai bentuk unik bertemakan jerami agar lebih menarik.

"Mereka bertungkus lumus sehingga lewat malam demi menyiapkan 'port' bergambar seperti 'love', wau bulan, 'love KKDK', pondok dan lain-lain lagi," katanya.


Sekumpulan pengunjung bergambar di salah satu 'port' jerami gulung.
Sekumpulan pengunjung bergambar di salah satu 'port' jerami gulung.

Menurutnya, pada setiap petang bermula dari jalan masuk kampung sehingga kawasan parkir kereta, belia-belia ini juga yang akan mengawal lalu lintas untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

"Mereka bertugas sepanjang masa bergilir-gilir tanpa merungut atau meminta balasan daripada kudrat yang disumbangkan. Bukan kata baru sekarang malah dari 2014 ketika kami menyertai Anugerah Kampung lagi mereka dah tunjuk minat untuk bersama-sama memajukan kampung ini," katanya.

Menurutnya, jadual penanaman padi serta kerja-kerja sawah untuk musim seterusnya akan bermula tidak lama lagi dan lokasi jerami gulung seluas kira-kira 2.87 hektar itu akan ditutup sementara bagi memberi laluan untuk kerja-kerja membajak.

"Insya - ALLAH, jerami gulung KKDK akan kembali pada tahun hadapan kerana ia hanya sesuai dilaksanakan pada musim kemarau," katanya.

Seorang penduduk, Fatimah Mokasin, 41, berkata, tarikan jerami gulung itu turut membuka pintu rezeki kepada penduduk kampung.

"Sebelum ini waktu petang tak ada buat aktiviti apa-apa tetapi sekarang mulai jam 4 petang saya dan ahli keluarga yang lain dah mula buka gerai sehingga malam," katanya.

Pengantin rakam memori

Sementara itu, sepasang pengantin baharu, Wan Hasrina Abu Hassan, 35, dan pasangannya Mohd Faisol Ahmad Marzuki, 35, juga tidak melepaskan peluang merakamkan memori indah mereka di jerami gulung.

"Selepas ini jerami gulung dah tak ada, jadi sementara masih ada peluang kami datang la ke sini, lagipun lokasinya tak jauh dari rumah kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Armada kawasan Jerai, Mohd Saffuan Sabari berkata, beliau sangat kagum dengan usaha dan kreativiti yang ditonjolkan oleh belia kampung berkenaan.

"Saya berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan cadangan supaya jerami gulung KKDK ini dimasukkan dalam kalendar tahunan, bukan sahaja untuk menarik lebih ramai pelancong luar ke negeri ini malah ia turut menjadi satu suntikan semangat serta penghargaan kepada belia kampung ini," katanya.

Dalam pada itu tinjauan Sinar Harian mendapati pelbagai aktiviti turut disediakan bagi merancakkan lagi jerami gulung KKDK, antaranya sukan All Terrain Vehicle (ATV), aktiviti berkuda, permainan kanak-kanak dan gerai jualan.


Wan Hasrina berswafoto bersama ahli keluarganya di samping jerami gulung.
Wan Hasrina berswafoto bersama ahli keluarganya di samping jerami gulung.