Sophia Liana & Budak Ngam juara DDS musim pertama

Juara DDS musim pertama, Sophia Liana & Budak Ngam - FOTO: Rosli Talib
Juara DDS musim pertama, Sophia Liana & Budak Ngam - FOTO: Rosli Talib
A
A
A

SOPHIA Liana diumumkan sebagai juara pertama program program Dansa Dan Sing (DDS) pada pentas akhir yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam malam tadi.

Sophia Liana yang diiringi Budak Ngam selaku kru tarian atau troopers tampil dengan persembahan yang cukup mantap sekali gus berjaya menambat hati barisan juri. Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000 berserta trofi.

Naib juara dimenangi oleh Chubb-E & Zeppo Youngsterz Crew yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi. Diikuti tempat ketiga yang menjadi milik Shiha Zikir & Team Squad dengan hadiah wang tunai RM25,000 berserta trofi.

Sementara itu Wani Kayrie & DeLitz, Waris & Alamak dan Raja Syahiran & 2Twenty2 Squad masing-masing hanya berpuas hati di tempat keempat, kelima dan keenam. Tiga tempat terbawah itu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.

Kesemua peserta memberikan persaingan yang sengit dengan menampilkan persembahan kreatif mereka menerusi tiga tugasan ‘Dance Jam’ iaitu Forte, Extravagant dan Battle.

DDS yang menggabungkan elemen dinamik seni tari dan seni suara itu menampilkan barisan juri tetap yang terdiri daripada Linda Jasmine dan Datuk Rizalman Ibrahim, manakala Datuk AC Mizal serta Hyan Byul selaku juri jemputan.

Peserta yang bertanding diadili menerusi format penjurian yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu markah juri profesional sebanyak 70 peratus (%) dan undian penonton secara online mewakili 30%.

Program yang dihoskan oleh Sherry Al-Hadad dan Hady Mirza itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap Ahad, jam 9.00 malam bermula 5 Januari lalu.

Artikel Berkaitan: