Tabik buat mereka di lapangan

A
A
A

PADA masa rencana ini ditulis, dilaporkan bahawa dua lagi pesakit yang menghidap virus Covid-19 telah sembuh dan didiscaj daripada Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar dan Hospital Sultanah Maliha di Langkawi.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan 22 kes Covid-19, dan daripada jumlah tersebut, 15 merupakan warga China, enam warga Malaysia dan seorang warga Amerika Syarikat.

Daripada 22 kes tersebut, 17 telah dirawat, sembuh dan telah didiscaj dari hospital tempatan yang merawat mereka. Hanya lima pesakit lagi masih dirawat di negara ini.

Ini bermakna 77 peratus daripada pesakit Covid-19 di Malaysia telah berjaya dirawat di hospital tempatan.

Di samping itu, kawalan yang dikenakan di pintu masuk negara juga dilihat berkesan. Warga Amerika yang berada di kapal MS Westerdam telah disahkan positif Covid-19 selepas beliau dan suaminya mendarat di Malaysia dari Kemboja.

Wanita tersebut adalah sebahagian daripada mereka yang telah dibenarkan pulang oleh pihak berkuasa Kemboja, tetapi kemudiannya menunjukkan simptom koronavirus dan dikesan oleh pihak berkuasa di Malaysia.

Walaupun situasi Covid-19 dalam negara semakin baik, kita masih wajar berjaga-jaga. Virus itu masih menyebabkan berbahaya di seluruh dunia. Ada pakar yang mengatakan bahawa angka jangkitan semakin baik, tetapi ada juga yang lebih pesimis.

Jiran kita, Singapura juga sedang berhempas pulas menghadapi koronavirus tersebut. Pemerintah Singapura nampaknya juga sedang menangani situasi di sana dengan baik, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa jangkitan lebih mudah berlaku di negara seperti Singapura, di mana kepadatan penduduk adalah lebih tinggi berbanding Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, jawatankuasa kerja yang ditubuhkan di antara kementerian kesihatan Malaysia dan Singapura adalah dialu-alukan kerana terdapatnya banyak pergerakan keluar masuk kedua-dua sempadan negara tersebut setiap hari.

Tetapi yang akhirnya akan melaksanakan dasar dan tindakan pembuat dasar adalah mereka yang berada di lapangan.

Mereka yang berkhidmat di hospital dan di sempadan negara adalah antara mereka yang berkhidmat di barisan hadapan dalam negara menghadapi ancaman Covid-19.

Daripada doktor-doktor dan pekerja sektor kesihatan, sehinggalah pekerja kebersihan yang membersihkan kawasan-kawasan awam untuk memastikan ia bebas daripada kesan kuman, bakteria atau virus; dedikasi dan usaha mereka dalam menangani wabak Covid-19 ini wajar disanjung dan dipuji.

Tanpa mereka, kita sudah tentu tempang dalam melawan wabak Covid-19. Mereka mempunyai tugasan berat, dengan potensi didedahkan kepada virus tersebut secara terus, namun mereka tabah menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

Apabila virus itu mula-mula dikesan di Malaysia pada bulan lepas, terdapat ramai yang panik dan takut, lebih lagi dalam kalangan netizen. Ramai yang terus mempersoalkan kesiapsiagaan dan keupayaan negara untuk menangani krisis yang mendatang, dan ada juga yang menyebarkan kepalsuan sama ada melalui kejahilan atau niat jahat.

Sejak itu, negara kita telah buktikan bahawa kita boleh menghadapi wabak virus tersebut dengan berkesan. Mereka yang berada di lapangan dan pembuat dasar, telah menjawab kritikan awal terhadap mereka dengan tindakan mereka.

Kepada mereka yang berada di barisan hadapan, tabik buat anda semua. Terima kasih atas usaha anda semua dalam menjaga rakyat Malaysia.

Dedikasi dan usaha mereka dalam menangani wabak Covid-19 ini wajar disanjung dan dipuji.”