Kanak-kanak patah tulang pipi disyaki didera ibu kandung

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun patah tulang pipi selain lebam di muka dan beberapa bahagian badan dipercayai didera ibu kandungnya.

Menurut sumber, kejadian menimpa kanak-kanak malang itu hanya diketahui selepas salah seorang ahli keluarga suspek membuat aduan kepada Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) melalui aduan Talian Kasih kira-kira jam 10 pagi pada Khamis lalu.

Katanya, pengadu memaklumkan suspek yang juga seorang ibu tunggal menghantar mangsa ke sebuah tadika di bandaraya ini sebelum kakitangan JKM bertugas bergegas ke lokasi dimaksudkan.

"Setibanya di tadika berkenaan, pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa terus dijalankan dan mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan termasuk lebam di pipi kiri dan di belakang kedua-dua belah telinganya.

"Kakitangan JKM kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya ketika di hubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan patah pada tulang pipi, lebam di muka, terdapat luka lama di lutut selain lebam di belakang telinga dan kelopak matanya disyaki didera.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

Katanya, susulan laporan itu seorang wanita berusia 29 tahun ditahan di hadapan pondok polis HSNZ di sini kira-kira jam 7 malam pada hari sama laporan diterima.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati suspek beralamat dari Pahang bekerja di salah sebuah hospital swasta di sini dan mangsa merupakan anak tunggalnya.

"Dia kini direman selama enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya mangsa," katanya.