Desas-desus gabungan baharu untuk Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Hari ini penuh dengan kejutan apabila beberapa parti besar dilihat 'sibuk' mengadakan mesyuarat khas di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Bentong seolah-olah ada pengumuman penting yang akan diumumkan dalam masa terdekat melibatkan gabungan politik baharu untuk Malaysia.

Spekulasi yang bertebaran tidak menolak kemungkinan fokus utama mesyuarat ada kaitan dengan isu peralihan kuasa Perdana Menteri selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Jumaat lalu yang sebulat suara menyerahkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat keputusan bila peralihan kuasa itu akan berlaku.

Terdahulu, pada awal pagi ini, pimpinan utama Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Pengerusinya, Dr Mahathir mengadakan mesyuarat tertutup di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya sejak jam 11 pagi tadi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir dilaporkan sudah tiba lebih awal pada jam 9 pagi dengan diiringi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun mesyuarat tersebut yang selesai jam 2.40 petang tadi masih kekal misteri manakala petugas media yang menunggu sejak awal hampa kerana gagal mendapatkan maklumat sebenar berhubung mesyuarat itu.

Pada masa yang sama, tular pula maklumat menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan terdapat satu lagi mesyuarat khas melibatkan sekumpulan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang setia kepada Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedang berlangsung di Hotel Sheraton, Petaling Jaya yang jaraknya kira-kira lima minit dari Menara Yayasan Selangor.

Petugas media menunggu di luar dewan tempat berlangsungnya mesyuarat tertutup kumpulan ahli Parlimen PKR.
Petugas media menunggu di luar dewan tempat berlangsungnya mesyuarat tertutup kumpulan ahli Parlimen PKR.

Mohamed Azmin dilaporkan tiba di hotel berkenaan pada jam 10.33 pagi tadi dengan disambut penyokongnya, selain turut kelihatan bersama beberapa lagi pemimpin tertinggi parti itu iaitu Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan dua Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Artikel Berkaitan:

Lebih mengejutkan, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga ahli Bersatu turut kelihatan menghadiri mesyuarat itu mewakili Bersatu.

Maklumat dalaman mengatakan satu sidang media penting bakal diadakan selepas mesyuarat tersebut yang difahamkan kini masih belum selesai.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M hanya senyum, tak beri komen

Terbaharu, terdapat desas-desus mengatakan Dr Mahathir juga akan menyertai mesyuarat khas bersama kem Mohamed Azmin itu pada bila-bila masa. Malah Dr Mahathir juga dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam perkembangan sama, episod 'mesyuarat khas hujung minggu' masih belum berakhir apabila turut tersebar maklumat mengatakan ahli-ahli Parlimen parti UMNO juga dijangka mengadakan mesyuarat khas di PWTC pada jam 4 petang selepas mendapat arahan supaya segera berkumpul di sana.

Turut disebutkan, parti Pas juga dijangka membuat mesyuarat khas sama.

Dr Mahathir meninggalkan bangunan itu kira kira jam 2.50 petang.
Dr Mahathir meninggalkan bangunan itu kira kira jam 2.50 petang.

Sinar Harian telah menghubungi beberapa pemimpin parti UMNO dan Pas bagi mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu, namun kesemuanya menafikan perkara tersebut.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi memberitahu tidak tahu-menahu mengenai mesyuarat khas UMNO yang didakwa berlangsung petang ini kerana beliau bersama pimpinan UMNO dan Pas kini berada di Institut latihan Memperkasa Ummah (Ilmu) di Janda Baik, Pahang untuk Program Pemukiman Muafakat Nasional.

"Semua termasuk Presiden, Timbalan dan Naib-naib Presiden kedua-dua parti, ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, pimpinan pemuda, wanita kedua-dua parti berada di sini," katanya.

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian di PWTC pula mendapati ia bercanggah dengan kenyataan Asyraf Wajdi apabila beberapa pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaacub dan Tan Sri Annuar Musa dilihat tiba di pekarangan Menara Datuk Onn, PWTC kira-kira jam 4 petang.

Sementara itu, Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad pula menegaskan mesyuarat khas tersebut tidak wujud kerana kesemua pimpinan Pas kini berada di Janda Baik bersama UMNO untuk program tersebut.

"Tak tahu pula (mesyuarat khas). Mesyuarat memang tak ada petang ini, program biasa ada," katanya.

Sementara itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut dilaporkan mengadakan pertemuan tergempar dengan ahli-ahli Parlimen GPS di Hotel The Ritz-Carlton, Kuala Lumpur susulan 'perkara besar' yang dijangka berlaku hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal juga dilaporkan berada di ibu negara.

Ketika ini, Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan dan Parlimen Malaysia sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

ARTIKEL BERKAITAN: Peralihan kuasa terpulang kepada saya, kata Tun M

Jumaat lalu, Dr Mahathir menegaskan peralihan kuasa Perdana Menteri akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasific (APEC) hujung tahun ini.

Jabatan Perdana Menteri
Jabatan Perdana Menteri

Bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana, Dr Mahathir berkata, kesemua pihak yang menghadiri mesyuarat itu sebulat suara menyerahkan kepada beliau untuk membuat keputusan.