Pasir Gudang perintis sistem amaran awal pencemaran udara

Bee Yin (tiga dari kanan) melihat PID di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.
Bee Yin (tiga dari kanan) melihat PID di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Pasir Gudang menjadi bandar industri pertama di negara ini dilengkapi sistem pengawasan bagi memantau kualiti udara supaya tindakan boleh dilakukan jika ada amaran awal.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, pemasangan alat bernilai RM6.9 juta membabitkan 25 stesen pengesan pemfotoionan (PID), enam unit Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR) dan dua unit pengesan bergerak.

Menurutnya, maklumat daripada sistem tersebut akan dikongsi kepada orang ramai melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar ( JAS), April nanti.

"Kerajaan akan meningkatkan pemantauan di kawasan perindustrian kerana kita tidak mahu pencemaran berulang selepas insiden Kim Kim," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke lokasi pemasangan peralatan tersebut di Stadium Tertutup MPPG.

Bee Yin berkata, kerajaan akan mengaplikasikan sistem berkenaan di kawasan perindustrian lain di negara ini.

Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon; Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan Pengarah JAS Johor, Mohd Famey Yusoff.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran udara: Kerajaan ambil enam langkah tangani

Menurut Bee Yin 18 stesen PID ditempatkan di sekolah sekitar Pasir Gudang dan dilengkapi penggera yang akan memaklumkan pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar.

Pada sidang media sama, menteri itu memaklumkan MESTECC tidak akan bertolak ansur terhadap penjenayah kelastrian alam sekitar dan banyak 664 pemeriksaan tahun lalu berbanding 460 pada tahun 2018.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 769 tindakan notis, kompaun, sitaan dan mahkamah dikenakan kepada pihak industri berbanding 97 tindakan pada tahun 2018," katanya.

"Sepanjang 2019, sebanyak 664 pemeriksaan dijalankan di kilang dan premis manakala 769 tindakan notis, kompaun, sitaan dan mahkamah dikenakan," katanya.

Pada Mac tahun lalu, Pasir Gudang digemparkan dengan berita pencemaran sungai Kim Kim, kesan pembuangan sisa buangan berjadual dan mengakibatkan mangsanya mengalami simptom seperti muntah, loya dan pengsan.