Wawasan Bintang, Pakatan Petroleum, Beriman Gold dilantik sebagai PPKM

Anthony pada sidang akhbar pengumuman pelantikan syarikat PPKM pada Jumaat.
Anthony pada sidang akhbar pengumuman pelantikan syarikat PPKM pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan pelantikan tiga daripada 12 syarikat yang memohon menjadi penyedia Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) baharu bagi fasa pertama.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat berkenaan ialah Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.

"Wawasan Bintang bakal melaksanakan operasi di tiga lokasi iaitu Pelabuhan Klang, Selangor; Gua Musang, Kelantan dan Mersing Johor," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Ujar beliau, Pakatan Petroleum pula beroperasi di Rawang, Selangor dan Termerloh, Pahang.

"Beriman Gold memberikan perkhidmatan di Kuching dan Serian, Sarawak," jelas Anthony.

Menurutnya, pelantikan itu dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama seperti mempunyai kedudukan kewangan kukuh dengan modal berbayar RM10 juta, berstatus sendirian berhad dan pemilikan tempatan.

"Hasil lawatan tapak mendapati lokasi yang dipilih adalah sesuai untuk operasi PPKM berdasarkan faktor keluasan, jarak dari kawasan perumahan, status pemilikan tanah, serta zon penggunaan tanah memenuhi perancangan oleh PLAN Malaysia," kata beliau.

Anthony berkata, syarikat yang menerima surat tawaran pelantikan PPKM diberikan tempoh 24 bulan untuk melengkapkan keperluan infrastruktur termasuk pembangunan premis, perolehan peralatan pemeriksaan serta mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang tempoh pembangunan ini, MOT melalui JPJ akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan syarikat yang dilantik mematuhi semua syarat dan standard operasi PPKM yang telah ditetapkan.

"Lesen operasi hanya akan diberikan setelah syarikat berkenaan memenuhi sepenuhnya keperluan peraturan dan kelengkapan

peralatan serta bersedia untuk memulakan operasi.

"Lesen pengoperasian adalah 10 tahun namun mereka perlu memperbaharui pada setiap tahun," kata beliau.

Mengulas mengenai sembilan syarikat yang tidak berjaya dalam permohonan itu, Anthony berkata, ia adalah disebabkan kegagalan memenuhi kriteria utama yang telah ditetapkan.

Selain itu, terdapat juga beberapa faktor lain yang mempunyai konflik kepentingan dengan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, seperti terlibat dalam perkhidmatan pembaikan, jual beli atau pengubahsuaian kenderaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, MOT akan membuka semula permohonan baharu PPKM fasa kedua bermula 1 Mac hingga 31 Jun.

Syarikat yang tidak berjaya dalam fasa pertama serta mana-mana syarikat lain yang berminat, dipelawa untuk mengemukakan permohonan.

"MOT ingin menegaskan bahawa pembukaan lebih banyak PPKM bertujuan untuk meningkatkan persaingan sihat serta memastikan pemeriksaan kenderaan yang lebih berkualiti demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya," katanya lagi.

Pada 17 Mac 2023, Jemaah Menteri bersetuju untuk membuka PPKM yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat-syarikat berkelayakan.

Ia sekali gus menamatkan perkhidmatan yang dimonopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) selepas konsesinya tamat pada 31 Ogos 2023.

Sementara itu, mengulas mengenai status Puspakom, Anthony memberi jaminan ia beroperasi seperti biasa namun perlu bersaing dengan pemain industri yang baharu dilantik.

"Puspakom tidak ditutup, cuma kerajaan mahu perkenalkan operator baharu supaya rakyat ada pilihan dan syarikat ada persaingan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!