Harga kereta CKD diramal naik

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa penjual kereta meramalkan harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) meningkat susulan pengumuman Honda Malaysia yang menaikkan harga beberapa model keluarannya kelmarin.

Menurut seorang penjual yang hanya ingin dikenali sebagai Azman, desas-desus mengenai perkara itu sudah kedengaran sejak beberapa bulan lalu.

“Honda mengumumkan beberapa kenderaan jenama berkenaan akan mengalami kenaikan harga antara lima peratus hingga sembilan peratus.“Antara model terlibat dalam kenaikan itu ialah Honda Jazz, City, dan CR-V. Buat masa ini, belum ada sebarang pengesahan daripada syarikat lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini kelmarin.

Kelmarin, Honda Malaysia mengumumkan kenaikan bagi kereta Honda terpilih itu susulan semakan semula ke atas insentif khas kereta pemasangan tempatan (CKD).

Dalam pada itu, seorang penganalisis automotif, Shamsul Yunos berpendapat, keputusan penilaian semula ke atas insentif tersuai (customised incentive) bagi kenderaan CKD adalah dipertikaikan.

Katanya, keputusan itu dilihat berbeza daripada regulasi penilaian eksais yang diumumkan sebelum ini bahawa ia tidak mempengaruhi harga kenderaan. “Kenaikan harga itu susulan semakan ke atas insentif CKD mengikut model tertentu.

“Ia berbeza daripada regulasi penilaian eksais yang diumumkan sebelum ini yang dilaporkan tidak mempengaruhi harga kenderaan,” katanya.Menurutnya, punca insentif berkenaan dinaikkan tidak dijelaskan dengan sewajarnya.

“Punca kenapa ia dinaikkan tidak dinyatakan dengan jelas dan mengapa kenaikan ia hanya melibatkan jenama Honda.

Artikel Berkaitan:

“Kita jangka ia (semakan CKD) turut memberi kesan kepada pengeluar kereta import lain kerana tidak mustahil insentif CKD mereka dinilai semula.“Bagaimanapun, kita berharap jenama kereta tempatan tidak akan terkesan,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, harga kenderaan CKD tidak akan dinaikkan tahun ini berikutan langkah kerajaan menyerap kos kenaikan berikutan pelaksanaan ketelusan pelaporan nilai pasaran terbuka (OMV).