Covid-19: Pesakit ke-13 cerita pengalaman kembali pulih

Pegawai Maybank cawangan Bayan Baru memeriksa suhu badan pelanggan sebelum dibenar masuk ke cawangannya bagi membuat urusan perbankan. -Foto Bernama
Pegawai Maybank cawangan Bayan Baru memeriksa suhu badan pelanggan sebelum dibenar masuk ke cawangannya bagi membuat urusan perbankan. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Pengalaman kali ini telah membuktikan bahawa hospital kerajaan mampu memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan bertaraf tinggi. Rakyat Malaysia patut berbangga dengan pencapaian tersebut”.

Itulah luahan pesakit ke-13 positif COVID-19 di Malaysia, yang hari ini telah didiscaj dari wad isolasi Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah selepas disahkan pulih daripada jangkitan itu.

Menerusi temu bual beliau dengan Kementerian Kesihatan yang diperoleh Bernama, wanita berusia 40 tahun itu berkata sebelum kejadian itu, beliau tidak pernah dimasukkan ke wad hospital kerajaan, dan pernah mempunyai persepsi yang kurang tepat, terhadap perkhidmatan hospital kerajaan.

Menceritakan pengalamannya ketika disahkan dijangkiti COVID-19, adik perempuan kepada kes kesembilan dan kes pertama jangkitan tempatan itu berkata, beliau tidak dapat menerima berita tersebut dan tidak pernah menjangka COVID-19 akan melibatkan keluarga dan dirinya.

"Saya bimbang kepada ahli keluarga terutamanya anak-anak saya, nasib baik semua orang sihat sekarang.

"Saya dikesan membawa jangkitan COVID-19 atas ‘pengesanan kontak’ dan diasingkan daripada ahli keluarga, rakan-rakan lain pada waktu yang awal. Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana melindungi rakyat Malaysia, daripada jangkitan COVID-19. Saya menghargai segala usaha yang dilakukan. Terima kasih!," katanya yang dikesan positif COVID-19 pada 4 Feb.

Katanya selepas dimaklumkan pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19, beliau sangat gembira kerana beliau akhirnya dapat bertemu dengan ahli keluarga dan kembali ke persekitaran luar, selepas ditahan di wad isolasi selama lebih dua minggu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kakitangan hospital tersebut kerana memberi layanan yang baik, sepanjang menjalani rawatan.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu turut menyeru orang ramai supaya bertenang dan saling membantu antara satu sama lain, selain tidak perlu risau untuk mendapatkan pertolongan atau pun bantuan perubatan, jika mempunyai gejala jangkitan.

"(Juga) Elakkan keluar ke tempat ramai orang dan rajin cuci tangan,” katanya. -Bernama