Bersediakah kita manfaatkan 5G

A
A
A

KITA sering merungut kerana masalah gangguan talian atau internet yang lembab terutama di waktu sesak dan sibuk. Dengan pelaksanaan teknologi generasi kelima (5G) di Malaysia kini, segala masalah talian dan rangkaian melibatkan internet dapat dikurangkan.

Projek Demonstrasi 5G (5GDP) yang baharu dilancarkan merupakan elemen 5G (atau 5th generation) iaitu generasi teknologi rangkaian terkini. Untuk sambungan mudah-alih, standard yang dipilih untuk 5G ini dikenali sebagai New Radio (NR).

5G NR disasarkan untuk membawa kelajuan seumpama fiber yang boleh dinikmati secara mudah-alih yang membawa peningkatan kelajuan yang drastik berbanding teknologi 4G Dengan penggunaan latensi yang rendah, 5G dapat memungkinkan beberapa perkara yang tidak dapat dicapai pada 4G.

Komunikasi yang pantas dan lancar membolehkan tindak balas segera dapat dilakukan dalam urusan, pentadbiran, pengurusan dan perniagaan. Mungkin juga impian untuk melancarkan 'kereta terbang' akan menjadi kenyataan! Melalui kecanggihan 5G membolehkan kenderaan berautonomi menjelang tahun 2021.

Malah, melalui 5G akan wujud bandar pintar yang dikawal dari segi pentadbiran, keselamatan dan pemantauan.

Malah, kilang pintar yang dikawal sepenuhnya oleh rangkaian 5G akan menjadi realiti. Segalanya melibatkan robotik dan mesin yang dikawal melalui sistem internet yang mampu meningkatkan produktiviti.

Begitu juga dalam bidang perubatan membolehkan pembedahan jarak jauh dengan doktor hanya mengawal alat perubatan secara terperinci walaupun pesakit berada di lokasi yang berbeza. Ia juga membolehkan kereta swapandu dapat diwujudkan kerana ia dapat mengikuti input yang lebih tepat daripada sistem berasaskan awan.

Dalam bidang hiburan, kita juga boleh menonton kandungan HDR dalam format definisi tinggi secara lancar walaupun anda menikmatinya melalui kaedah penstriman. Bagi penggemar game, pengguna dapat memuat-turun permainan yang mencecah saiz sebesar gigabait dalam masa beberapa saat.

Artikel Berkaitan:

Sedia

Persoalannya bersediakah rakyat Malaysia ke arah sistem rangkaian yang serba moden dan cangggih ini? Pelaksanaan 5G juga dapat menutup mulut segelintir netizen dan masyarakat yang menyindir kerajaan yang membawa pemodenan di era serba serbinya berkaitan dengan rangkaian internet.

Dalam era 5G rakyat Malaysia perlu juga bersiap siaga ke arah permodenan. Bersedia dari segi mental, fizikal dan ilmu pengetahuan. Ia disebabkan teknologi bergerak begitu pantas dan kita perlu mengambil kesempatan dan peluang dengan kekuatan di era 5G itu.

Perkara baharu mungkin merupakan inovasi dan perubahan teknologi yang akan memberi kesan yang cukup besar dalam semua aspek kehidupan.

Suatu ketika dahulu, kita tidak terfikir wujudnya telefon bimbit yang memudahkan kita berkomunikasi dan berinteraksi. Masa kini kita menjadikan telefon bimbit sebagai suatu keperluan kepada semua lapisan masyarakat. Kini dan tidak lama lagi Malaysia akan dilanda dengan ledakan 5G yang lebih serba moden yang pantas, bersepadu dan bersistematik.

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia pelaksanaan teknologi 5G dijangka menyumbang sehingga lebih RM12.7 bilion kepada ekonomi negara antara 2021 dan 2025 dan menjana lebih 39,000 peluang pekerjaan baharu.

Menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dan sokongan daripada penggiat telekomunikasi, Malaysia bersedia menerajui pelaksanaan 5G di ASEAN, sekali gus memberikan negara kelebihan untuk melaksanakan Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI).

5G diwujudkan untuk mengurangkan segala isu dan halangan yang berlaku pada rangkaian 4G sedia ada. Walaupun 4G mempunyai kadar kelajuan yang memadai, ia masih belum cukup untuk memenuhi permintaan pengguna pada era teknologi baharu.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM)