Polis Marin Sabah rampas kapal, diesel bernilai RM1.2 juta

No Image Caption
A
A
A

LABUAN - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 450,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM963,000 dari sebuah kapal tangki di perairan Labuan Khamis lalu.

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, rampasan pada jam 5 petang itu dibuat hasil operasi, ‘Ops Gelora Khas’ bersama Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Labuan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kapten kapal warga Indonesia berkenaan gagal mengemukakan dokumen berkaitan pembelian dan penjualan diesel tersebut.

“Semasa mengadakan rondaan di kawasan perairan Labuan, anggota operasi ternampak kapal itu berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran pelabuhan Labuan.

“Hasil pemeriksaan, kami menjumpai bekalan diesel di dalam kapal itu yang dibawa tanpa permit itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2.4 juta iaitu kapal tangki bernilai RM1.437 juta manakala muatan diesel bernilai RM963,000.

Berikutan itu, kapten kapal berkenaan bersama enam anak kapal warga Malaysia berusia antara 26 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. - Bernama

Artikel Berkaitan: