Dua beradik kembali ke sekolah

Mohamad Arif Asyraf mencuba basikal yang dihadiahkan untuk kegunaannya ke sekolah.
Mohamad Arif Asyraf mencuba basikal yang dihadiahkan untuk kegunaannya ke sekolah.
A
A
A

KOTA BHARU - Nasib dua-beradik yang terpaksa berhenti sekolah sejak setahun lalu disebabkan kemiskinan terbela apabila dibantu oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu dan beberapa pihak lain.

Mohamad Arif Asyraf Ismail, 15, dan adiknya, Aina Natasya Ismail, 13, terpaksa mengorbankan impiannya untuk belajar buat sementara waktu disebabkan masalah kewangan dan pengangkutan.

Dua beradik berkenaan nekad membuat keputusan tersebut kerana mereka juga perlu menjaga bapa mereka, Ismail Hamzah, 60, yang menghidap kanser usus sejak beberapa tahun lalu.

Ismail berkata, sejak kematian isterinya lima tahun lalu, dia memikul tanggungjawab membesarkan anak-anak tetapi kudratnya terbatas kerana diuji dengan penyakit kanser.

“Usus saya bermasalah dan terpaksa dipotong, jadi saya tidak boleh buat kerja berat dan tidak gagah lagi untuk hantar anak-anak ke sekolah setiap hari.

“Mereka juga pernah tidak bawa duit belanja. Tapi saya bersyukur seorang anak yang bekerja kilang di Kuala Lumpur dan pembantu di kedai kek boleh menampung sekadar mampu,” katanya ditemui di Padang Bongor kelmarin

Ismail yang sebelum ini melakukan pelbagai jenis pekerjaan itu menerima kunjungan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Mohd Zamri Abdul Aziz dan Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Hamidah Mokhtar bersama Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Azle Che Kamaruddin.

Kunjungan tersebut dibuat sempena Majlis Pelancaran Ziarah Cakna 2020 Peringkat PPD Kota Bharu yang mana SMK Tanjong Mas selaku tuan rumah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Zamri memuji usaha yang dilakukan guru-guru SMK Tanjong Mas yang mengambil inisiatif membantu keluarga tersebut demi masa depan dua pelajar berkenaan.

“Di sini kita melihat peranan kaunselor dan pihak sekolah yang sentiasa memberikan motivasi dan memastikan keberadaan murid di sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidah berkata, pihak sekolah sentiasa memantau keadaan pelajar supaya tidak menjadikan kekangan kewangan ataupun kemiskinan sebagai halangan untuk berjaya dalam pelajaran.

Pada program itu, dua beradik tersebut menerima surat sambung belajar termasuk sebuah basikal dan JKM turut memberikan bantuan segera.

Selain itu, ketua keluarga tersebut akan menerima bantuan am sebanyak RM250 sebulan bermula Mac selain anak ketiganya, Mohamad Syazwan Ismail yang bekerja di kedai roti menerima elaun pekerja cacat sebanyak RM400 sebulan.