Konvokesyen: MSU rai 1,769 graduan

Aleaa Nur Insyirah menerima pengiktirafan Anugerah Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen MSU ke-26 di sini, hari ini. -Foto Ihsan MSU
Aleaa Nur Insyirah menerima pengiktirafan Anugerah Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen MSU ke-26 di sini, hari ini. -Foto Ihsan MSU
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 1,769 graduan daripada 87 program pengajian diraikan pada Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) ke-26 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 1,108 graduan menerima skrol ijazah Sarjana Muda, ijazah Doktor Falsafah atau PhD (48), ijazah sarjana (34) dan Diploma (579).

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, pada majlis konvokesyen kali ini, lima anugerah khas diberikan kepada 47 graduan di atas pencapaian cemerlang mereka dalam bidang pengajian masing-masing.

Beliau berkata, bagi penerima Anugerah Pingat Emas Canselor diberikan kepada Aleaa Nur Insyirah Alias yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), manakala Anugerah Presiden diberikan kepada Sruthi Susan George (Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelaburan) dan Hani Qistina Dayana Avelino S Cavan@aka Mohd Fadil (Diploma Teknologi Makmal Perubatan).

Sementara itu katanya, Goh Wen Jian yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dianugerahkan Mohd Shukri Outstanding Award, sementara 26 graduan serta 17 graduan masing-masing menerima Anugerah Akademik dan Anugerah Industri.

"Selain itu, saya juga sangat gembira dengan pencapaian graduan yang menamatkan pengajian pada majlis konvokesyen kali ini di mana sebanyak 42 peratus memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.30 dan ke atas.

"Ia adalah satu pencapaian sangat membanggakan buat universiti,"katanya pada sidang akhbar hari ini.

Turut hadir Pro-Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama beliau berkata, MSU terpaksa menangguhkan sesi konvokesyen pada kali ini untuk graduan termasuk dari China dan Sri Lanka yang terjejas susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Kita ambil langkah berjaga-jaga serta mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Kesihatan.

"Buat masa ini, kita tidak benarkan mereka balik ke sini sehingga keadaan reda tetapi MSU terus memberi sokongan dari segi kaunseling dan program pembelajaran secara online (dalam talian),"katanya.

Sementara itu, Aleaa Nur Insyirah, 22 yang menerima Anugerah Pingat Emas Canselor berkata, dia sangat gembira dan tidak menjangka mendapat pengiktirafan sebegitu.

Aleaa Nur Insyirah (dua,kiri) bersama ibu bapa dan salah seorang abangnya yang turut menuntut di MSU. -Foto Ihsan MSU
Aleaa Nur Insyirah (dua,kiri) bersama ibu bapa dan salah seorang abangnya yang turut menuntut di MSU. -Foto Ihsan MSU

"Saya sangat gembira kerana permulaan saya untuk belajar di MSU pada usia yang sangat muda iaitu 15 tahun dipermudahkan sejak dari awal.

"Sebelum ini, saya lahir dan dibesarkan di Brunei, jadi sistem pendidikannya berbeza... Apabila saya memohon untuk menyambung diploma di MSU, alhamdulillah ia diterima,"katanya.

Tambahnya, dia bersyukur penerimaan pelajar lain terhadap dirinya sangat baik walaupun usianya terlalu muda pada ketika itu.

"Saya sudah memiliki diploma dan ijazah sarjana muda TESL, kini sedang menyambung pengajian ijazah Sarjana dalam bidang sama dan menyasarkan untuk memiliki PhD pada usia 25 tahun," katanya.