Pak Teh pelawa OKU ternak ikan

Dua peserta OKU cacat penglihatan menunjukkan hasil tangkapan mereka pada program memancing belia OKU penglihatan hari ini.
Dua peserta OKU cacat penglihatan menunjukkan hasil tangkapan mereka pada program memancing belia OKU penglihatan hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengusaha kolam memancing Danau Nilam Padang Kala dekat sini, mempelawa mana-mana pihak atau agensi untuk bersama mengusahakan kolam ikannya bagi menjana pendapatan kepada golongan kurang upaya (OKU) cacat penglihatan.

Kolam ikan yang dibina di atas tanah seluas 0.8 hektar itu diusahakan sejak lebih 40 tahun lalu dengan menternak ikan patin, lampam jawa, keli, talapia, jelawat serta bawal merah.

Abdul Latif Awang Soh,79, atau lebih mesra dipanggil Pak Teh berkata, bagi memastikan hasratnya itu tercapai, dia memerlukan bantuan kos sebanyak RM300,000 untuk menaik taraf kolam ikannya.

Menurutnya, dia membuka peluang kepada OKU cacat penglihatan kerana mahu golongan ini juga boleh berjaya seperti insan normal lain.

Malah katanya, dia prihatin dengan nasib OKU memandangkan dia juga mempunyai dua anak perempuan yang cacat penglihatan.

"Dua anak saya iaitu Siti Norma, 31, cacat penglihatan sejak dilahirkan manakala Siti Norizawati, 42, pula tidak nampak sejak tiga tahun lalu. Mereka kini bergantung harap sepenuhnya kepada suami masing-masing.

"Saya tidak mahu mereka yang tidak nampak ini akan hilang masa depan. Tidak boleh hidup seperti manusia lain. Mereka hanya tidak nampak tapi perkara lain mereka sama saja dengan kita yang normal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pak Teh
Pak Teh

Pak Teh berkata, dia juga bersedia bekerjasama dengan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Kelantan untuk membantu memberi ruang kepada ahli mereka bekerja di kolam ikan itu.

Terdahulu, Pak Teh meraikan lebih 15 ahli SBM negeri sempena program memancing belia OKU penglihatan di kolam ikannya anjuran SBM di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang peserta, Norhayati Cik Hassan,31, berkata, dia menyokong idea Pak Teh itu kerana ia dapat memberi semangat kepada golongan OKU untuk berjaya.

Norhayati yang kini mengusahakan Pusat Urut Melayu Kelantan di Gunong berkata, dia tidak nampak (buta) sejak bersekolah di Tingkatan 3 selepas mengalami sakit kepala yang teruk.

"Saya harap nanti bolehlah kami berdikari dan hidup macam orang lain. Tidaklah kami akan rasa terabai. Lagipun banyak cara yang boleh dilakukan, jangan hanya melihat kepada kekurangan kami sahaja," katanya.