Pro dan kontra pajakan 28 helikopter bernilai RM16 bilion - Pakar

Kementerian Pertahanan menjelaskan perolehan menggunakan pendekatan sewaan bagi perkhidmatan 28 helikopter kepada pelbagai agensi kerajaan adalah teratur dan bersandarkan keperluan.
Kementerian Pertahanan menjelaskan perolehan menggunakan pendekatan sewaan bagi perkhidmatan 28 helikopter kepada pelbagai agensi kerajaan adalah teratur dan bersandarkan keperluan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran meneliti dengan lebih mendalam dari aspek ekonomi, keselamatan dan keutamaan mempertahankan kedaulatan negara untuk meneruskan keputusan memajak 28 unit helikopter bagi kegunaan keselamatan negara dengan kos RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun.

Felo Penyelidik Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Bakri Mat berkata, keputusan strategik berkenaan juga mesti diselaraskan dengan dasar utama negara yang digagaskan melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP), Dasar Keselamatan Negara (DKN), Dasar Pertahanan Negara (DPN) dan Dasar Industri Pertahanan (DIP).

Menurutnya, kos pajakan yang berpanjangan boleh melebihi kos pembelian seterusnya memberi beban kewangan tambahan kepada negara.

“Sebagai contoh, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan bahawa Poland berjaya membeli 32 unit helikopter dengan kos yang lebih rendah berbanding kos pajakan yang ditanggung Malaysia.

“Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada analisis kos efektif telah dilakukan secara menyeluruh sebelum strategi pajakan ini diputuskan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Hamzah menuntut kerajaan memberi penjelasan berhubung kos pajakan berkenaan kerana dilihat sangat besar jika dibandingkan dengan kos pembelian 32 buah helikopter yang dibuat Poland.

Hamzah mengingatkan agar ‘pisang tidak berbuah dua kali’ selepas isu pembinaan aset pertahanan negara iaitu kapal tempur pesisir (LCS) terpalit kontroversi.

Mengulas lanjut, Bakri berkata, pembelian aset memberikan peluang untuk memperkasa industri tempatan, meningkatkan kapasiti syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dalam negara dan menjana peluang pekerjaan serta pemindahan teknologi selaras dengan aspirasi negara untuk memperkukuh kedaulatan teknologi pertahanan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika keputusan seperti pajakan helikopter tidak mengambil kira dasar KPP, DKN, DPN dan DIP ia boleh melemahkan daya tahan negara serta keberkesanan jangka panjang strategi keselamatan dan pertahanan nasional.

“Sekiranya aspirasi yang digariskan dalam dokumen seperti KPP, DPN dan DIP tidak dijadikan asas dalam membuat keputusan berkaitan perolehan aset pertahanan, dokumen-dokumen ini akan menjadi sekadar simbolik tanpa impak nyata.

“Lebih membimbangkan, kegagalan untuk melaksanakan dasar-dasar ini boleh melemahkan kepercayaan terhadap usaha kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara,” jelasnya.

Bagaimanapun pakar pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berpandangan, kadar sewaan 28 helikopter jenis AW139 tersebut dilihat berbaloi mengambil kira kekangan kewangan negara dan kemampuan industri pertahanan tempatan yang masih terhad untuk menyerap teknologi bagi tujuan penyelenggaraan sekiranya kerajaan memilih membeli set berkenaan.

Katanya, ketiadaan DIP negara yang jelas juga dikhuatiri menyebabkan berlaku kerugian besar dan kelewatan ketara mengambil iktibar daripada projek perolehan LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kalau baca laporan audit (perolehan TLDM), banyak alat ganti tidak disentuh langsung yang berkarat dalam logistik sebab kapal-kapal itu apabila dibeli di Amerika Syarikat, di Korea, kita beli juga alat gantinya. Tapi bila kapal tu dah lupus, masih ada alat ganti dari banyak negara yang tidak boleh pakai sebab komponen tidak sama untuk setiap kapal.

“Tapi apa yang lebih penting, kerajaan kena segera keluarkan DIP, barulah kita boleh nampak hala tuju ke mana. Sebab perolehan sahaja tidak cukup. Ia juga akan menyentuh tentang integriti dan tatakelola pihak industri dan juga Kementerian Pertahanan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!