Pengganti Dharma Raj diketahui April

Dharma Raj. Foto: Bernama
Dharma Raj. Foto: Bernama
A
A
A

TEKA-teki mengenai siapa yang bakal mengisi ‘kerusi panas' selaku ketua jurulatih hoki wanita negara akan terjawab April ini.

Kekosongan jawatan berkenaan berlaku selepas Muhammad Dharma Raj Abdullah mengumumkan perpisahannya bersama Malaysian Tigress pada 10 Februari lepas.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Kejurulatihan, yang akan dipengerusikan Jadadish Chandra iaitu timbalan presiden (lelaki) KHM.

"Permohonan untuk jawatan itu telah ditutup dan kita menerima 23 orang telah memohon jawatan tersebut. Jawatankuasa baharu ini kita tubuhkan untuk 23 permohonan itu atas pelbagai kriteria seperti apa yang mereka buat sekarang (kerjaya terkini).

"Selepas disenarai pendek, mereka akan kembali kepada kita (KHM). Kita mungkin akan membuat penelitian semula dan akan buat keputusan. Tempoh masa, akan selesai sebelum bulan Mac. Minggu pertama April akan ada pelantikan bagi jurulatih wanita," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif KHM kali ketiga di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Muhammad Dharma memutuskan untuk tidak memohon kembali jawatan ketua jurulatih pasukan itu susulan beberapa dakwaan mengaitkan dirinya seolah-olah berpaling tadah daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Pada Disember lalu, KHM mengumumkan penamatan kontrak semua jurulatih di bawah badan induk itu, kecuali ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltman, dalam usaha menyuntik nafas baharu kepada struktur arena hoki tanah air. - Bernama

Artikel Berkaitan: