Dua anggota polis disiasat kes gambar budak kena gari

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU- Siasatan tatatertib akan dijalankan ke atas dua anggota polis berpangkat koperal yang masing-masing bertugas di Lahad Datu dan Keningau, berhubung gambar tular seorang kanak-kanak lelaki Pala'u, yang digari selepas ditahan, pada Rabu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, pihaknya memandang serius perbuatan menggari kanak-kanak berkenaan yang menyalahi undang-undang, serta tidak mengikut prosedur ditetapkan di bawah Seksyen 15 Kanun Prosedur Jenayah.

"Susulan itu berdasarkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) A120, siasatan tatatertib dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada Rabu lalu, tular gambar seorang kanak-kanak meminta sedekah, sambil memegang sepucuk pistol mainan dan diacukan ke arah sebuah kenderaan berhenti di kawasan lampu isyarat Bandar Sri Perdana, di sini.

Rentetan itu, satu Ops Cantas dijalankan dan kanak-kanak terbabit ditahan bersama empat wanita, serta enam kanak-kanak perempuan dan empat kanak-kanak lelaki di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1963.

Menurut Zaini, perbuatan menggari kanak-kanak itu dilakukan oleh anggota bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, yang merakam gambar kanak-kanak itu dan dikongsi dengan rakannya bertugas di Keningau, bagi memberitahu bahawa kanak-kanak tular mengemis menggunakan 'pistol' itu sudah ditahan.

Namun, katanya, rakan polis itu kemudian menyebarkan gambar kanak-kanak bergari itu dan menjadi tular.-Bernama

Artikel Berkaitan: