'Tommy dinasihat tarik balik keputusan'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dinasihatkan untuk tarik balik keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, Peguam Negara perlu biarkan pertuduhan terhadap individu terbabit untuk dibicarakan dan ditentukan melalui sistem pembuktian di mahkamah.

"Sekiranya tidak, saya percaya Tommy Thomas dalam kapasiti sebagai Peguam Negara boleh dikatakan telah secara salah mencampuri kuasa menteri," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Negara tiada kuasa, kata Muhyiddin

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan bahawa Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bidang kuasanya.

Muhyiddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai asas kukuh mengekalkan penyenaraian kumpulan LTTE sebagai kumpulan pengganas berdasarkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Menurutnya, ia menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi dan kegiatan yang berkaitan dengan kumpulan ini.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Malaysia menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas sejak 12 November 2014.

Selain Malaysia, beberapa negara lain turut mengisytiharkan dan mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dalam senarai negara masing-masing seperti India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

ARTIKEL BERKAITAN: LTTE: 28 hujah AG batal prosiding jenayah 12 individu