TSG pertaruh dua pelumba import baharu perkuat pasukan

Pelumba tempatan dari pasukan Terengganu Inc. TSG Cycling Team, Mohd Harrif Saleh (dua, kanan) bergambar bersama pasukannya selepas menamatkan perlumbaan dan berjaya memenangi saingan peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 sejauh 130.4 kilometer dari Dewan Dato’ Hj Ahmad Badawi, Bagan ke Menara Alor Setar tempoh hari. - Foto Bernama
Pelumba tempatan dari pasukan Terengganu Inc. TSG Cycling Team, Mohd Harrif Saleh (dua, kanan) bergambar bersama pasukannya selepas menamatkan perlumbaan dan berjaya memenangi saingan peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 sejauh 130.4 kilometer dari Dewan Dato’ Hj Ahmad Badawi, Bagan ke Menara Alor Setar tempoh hari. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pasukan lumba basikal bertaraf benua, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) mempertaruhkan dua pelumba import baharu, bagi memperkuat pasukan itu musim ini.

Dua pelumba tersebut iaitu Christofer Jurado, 27, dari Panama dan Carlos Quintero, 33, dari Colombia yang pernah mewakili pasukan Monzana Postoban, Colombia dan China Continental Team of Gansu Bank, China.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, beliau sedar cabaran untuk mengekalkan status selaku pasukan nombor satu jelajah Asia musim ini agak sukar kerana semua pesaing turut menjalankan persediaan rapi, bagi memantapkan pasukan masing-masing.

Bagaimanapun beliau optimis TSG mampu mempertahankan gelaran tersebut dengan meletakkan sasaran podium dan kutipan mata semaksimum mungkin dalam setiap perlumbaan yang disertai.

"Dengan cabaran sengit dan 'peraturan' baharu pengiraan mata yang ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), saya sifatkan 2020 ini adalah musim yang mencabar bagi TSG.

"Tetapi kita akan cuba pertahankan dan dengan momentum yang dipamerkan TSG pada pelumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) baru-baru ini, saya yakin kita mampu mempertahankannya (juara jelajah Asia)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kayuhan Shimano Fellowship Ride 2020 dan Majlis Memperkenalkan Pelumba dan Barisan Penaja Pasukan TSG 2020 di Dataran Batu Buruk hari ini.

Selain Jurado dan Quintero, TSG turut mengekalkan enam lagi pelumba import dan lapan pelumba tempatan termasuk pasangan adik beradik, Zamri dan Harrif Saleh, yang mencipta sejarah memenangi dua peringkat perlumbaan pada LTdL baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain Che Ku Mohd Izamuddin berkata, pihaknya juga telah selesai melakukan pemilihan dan mengambil dua pelumba baharu anak tempatan, bagi membarisi Terengganu Inc TSG Cycling Academy (TSG Academy).

Artikel Berkaitan:

"Kita telah menjalankan proses pemilihan yang ketat bagi mencari pelumba yang benar-benar berbakat, bagi mengisi tempat di akademi sejak tahun lalu.

"Dua pelumba baharu iaitu Zulfadli Iswadi Zainal dan Muhammad Fikri Majemin, akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Wan Muhammad Hamizan Ifwat Wan Badrul Fadlisham dan Wan Abdul Rahman Hamdan yang telah diserap ke pasukan elit TSG," katanya yang masih mengekalkan Jeremy Hunt sebagai jurulatih.- Bernama