Dividen KWSP dianggap terbaik walau berdepan pasaran saham lemah

KWSP
KWSP
A
A
A

SHAH ALAM - Keupayaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 2019 pada 5.45 peratus bagi tahun 2019 dianggap sangat bagus kerana ia diramalkan lebih rendah sebelum ini.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, dividen yang diberikan adalah yang terbaik walaupun dalam keadaan pasaran saham dan pelaburan yang tidak baik pada ketika ini.

"Pasaran saham kita sebenarnya sudah turun lebih daripada enam peratus sejak awal tahun 2019 jadi sepatutnya ia mencerminkan aset KWSP telah mengalami penurunan nilai secara purata tetapi KWSP masih boleh umumkan dividen sebanyak 5.45 peratus.

"Ini menunjukkan KWSP adalah pengurus aset yang bagus kerana berjaya menghalang kejatuhan dalam pasaran saham dan saya fikir mereka telah berjaya menerusi pelaburan seperti bon, sukuk dan pelaburan yang mempunyai pulangan tetap," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hari ini, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 5.45 peratus manakala bagi Simpanan Shariah 2019, KWSP mengumumkan dividen 5 peratus melibatkan agihan RM4.14 bilion.

Angka itu sedikit rendah berbanding 6.15 peratus dividen Simpanan Konvensional dan 5.9 peratus Simpanan Shariah pada 2018.

Menurut KWSP, ia merekodkan prestasi kukuh untuk 2019 disumbang operasi dan kewangan.

Dalam pada itu, Barjoyai berkata, KWSP juga berjaya mengurangkan kesan daripada kejatuhan pasaran saham tempatan dengan melabur di arena antarabangsa seperti Pasaran Saham New York yang jauh lebih baik dari Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Melabur di pasaran saham antarabangsa dapat mengurangkan kesan atau impak kepada penurunan pasaran di Malaysia. Secara keseluruhannya, saya rasa KWSP menunjukan prestasi yang cemerlang dengan mengisytiharkan dividen 5.45 peratus ini," ujar beliau.

Ketika ditanya tentang harapan para pencarum yang ingin jumlah yang lebih tinggi, Barjoyai berkata, penurunan kadar itu sebenarnya sudah dijangka sebelum ini dengan kedudukan prestasi ekonomi semasa.

"Kita kena bandingkan prestasi tahun lepas kepada prestasi pasaran tahun sebelumnya memang jauh lebih rendah jadi sudah dijangka dividen akan lebih rendah

"Tetapi saya kagum bagaimana KWSP dapat cari wang cukup untuk bayar dividen ini berdasarkan portfolio mereka yang banyak di Malaysia," katanya.