Cristina Suzanne rasmi Glenn’s Grocer, teruja sambut hari jadi anak

Cristina Suzanne ketika sambutan majlis hari jadi anak lelakinya yang diadakan di Glenn's Grocer, Utroplolis Market Place, Shah Alam.
Cristina Suzanne ketika sambutan majlis hari jadi anak lelakinya yang diadakan di Glenn's Grocer, Utroplolis Market Place, Shah Alam.
A
A
A

SETELAH mendirikan rumah tangga dan kini bergelar ibu kepada seorang cahaya mata, kelibat pelakon Cristina Suzanne tidak lagi kelihatan di kaca TV mahupun layar lebar dengan karya terbaharu.

Bukan sudah lagi tidak berminat meneruskan kerjaya lakonan, namun kata pemilik nama sebenar Cristina Suzanne Stockstill, 35, dia kini terikat dengan tanggungjawab baharu sebagai isteri dan ibu, selain komitmen dalam bidang perniagaan.

“Saya tidak pernah berhasrat meninggalkan dunia lakonan. Cuma selepas berkahwin dan bergelar ibu, tumpuan saya banyak kepada rumah tangga dengan tanggungjawab baharu.

“Dalam pada itu, tawaran lakonan juga datang dengan naskhah atau karakter sama yang pernah saya buat sebelum ini. Dulu saya OK sahaja nak buat kerana ada masa yang banyak, tapi sekarang kena pilih tawaran berbaloi,” katanya yang bakal tampil menerusi filem Daulat tidak lama lagi.

Cristina ditemui ketika majlis sambutan hari jadi anak lelakinya, Adrian Noah Faiz, 1, yang diraikan secara sederhana bersama keluarga dan kenalan dekat baru-baru ini.

“Macam tak percaya saya sekarang bergelar ibu. Apatah lagi ketika pertama kali buat persiapan sambutan hari jadi anak, perasaan jadi berbaur.

“Dulu saya bukan jenis suka sambut hari jadi. Tapi bila ada anak, tiba-tiba jadi teruja nak buat majlis ini sebagai kenangan untuk anak,” katanya.

Berkongsi kehidupannya sebagai ibu, kata Cris, rutinnya berubah 360 darjah. Biarpun masih dalam proses menyesuaikan diri, dia ternyata bahagia dengan apa yang dimilikinya kini.

Artikel Berkaitan:

“Cara hidup saya sebelum bergelar ibu sangat berbeza dengan sekarang. Mungkin bunyinya klise, tetapi itulah hakikatnya. Semua benda kita cenderung untuk dulukan anak tanpa disuruh sesiapa.

“Saya juga menjaga sendiri anak tanpa bantuan pengasuh. Bukan kerana tidak percayakan orang lain, tetapi selagi boleh buat sendiri, lebih baik saya mengambil tanggungjawab itu sepenuhnya.

“Bila terikat dengan urusan kerja, barulah saya akan meminta bantuan keluarga mertua untuk membantu tengokkan anak,” akuinya.

Tidak hanya itu, rutin Cristina juga kini berbeza setelah menceburi bidang perniagaan. Dia dan suami, Faiz Zakaria, mengusahakan mini pasaraya, Glenn’s Grocery yang terletak di Utropolis Market Place, Glennmarie, Shah Alam.

“Alhamdulillah, setelah lama merancang akhirnya Glenn’s Grocer menjadi kenyataan. Perniagaan ini diusahakan bersama suami dan rakan kongsi lebih kurang tiga bulan lalu dan baru sahaja dilancarkan secara rasmi pada 14 Februari lalu.

“Selain barang keperluan harian, kami juga menyediakan cafe untuk pengunjung menjamu selera apabila singgah di sini.

“Biarpun masih baru dan banyak benda yang perlu dipelajari, saya yakin dapat penuhi impian di sini,” katanya yang kini banyak meluangkan masa di Glenn's Grocer.