Hanipa tidak merajuk lepas tegur pelajar, kata pegawai media

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin meninggalkan satu majlis di sebuah sekolah bukan kerana merajuk tetapi perlu hadir sidang media yang sudah dijadualkan di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut pegawai medianya, Anas As-Said Zaharuddin, Mohamed Hanipa yang juga merupakan Timbalan Menteri JPM Undang-Undang dijadualkan ke Pejabat Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Putrajaya.

Jelasnya, ahli Parlimen itu perlu menghadiri pertemuan dan sidang media bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Eddin Syazlee Shith bagi membincangkan dan mengumumkan tindakan kerajaan bagi menangani berita palsu.

"Keberangkatan beliau dari majlis tidaklah seperti yang diwar-warkan oleh warganet. Sebaliknya, sebaik selesai berucap, Mohamed Hanipa sempat kembali ke tempat duduknya dan bersalaman dengan barisan individu penting dan guru-guru kanan sekolah serta memaklumkan beliau perlu mengundur diri dan perlu bergegas ke satu sidang media yang diketuai oleh beliau sendiri di JPM.

"Malah Mohamed Hanipa telah memaklumkan hal tersebut kepada pihak guru besar sambil sempat bersalam dengan beliau. Ia tiada kaitan sama sekali dengan isu pelajar membuat bising," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau di sini hari ini.

Hari ini tular di media sosial mengenai tindakan Mohamed Hanipa yang dikatakan menghentikan ucapannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana kerana merajuk selepas beberapa pelajar membuat bising.

Anas As-Said berkata, Mohamed Hanipa telah memberi kata-kata semangat dan memberi tips untuk menjadi insan yang berjaya dan menceritakan pengalaman beliau belajar hingga ke menara gading dengan mencapai ijazah berkembar.

"Namun malangnya, ucapan beliau terhenti seketika apa bila ada segelintir pelajar lelaki di dewan itu mula membuat bising dan kelihatan seperti tidak menghormati majlis yang dihadiri dan disaksikan para ibubapa.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan menjadi senyap sunyi apabila beliau menegur mereka yang menganggu majlis serta mengganggu ucapan beliau.

"Mohamed Hanipa menegur perbuatan itu kerana ia mengganggu kosentrasi beliau berucap. Bagaimanapun, pada waktu itu juga, beliau juga sudah hampir mengakhiri ucapan perasmian majlis," katanya.