Ugutan bunuh: Polis akui ada kaitan rasa tidak puas hati

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

IPOH - Polis tidak menolak kemungkinan nota ugutan bunuh yang diterima Pegawai Khas Ahli Parlimen Tanjung Malim, Selasa lepas mempunyai kaitan rasa tidak puas hati dengan perkhidmatannya di kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, berdasarkan keterangan diberikan, pengadu mengaku ramai pihak berjumpanya setiap hari demi kepentingan politik seperti untuk melibatkan diri sebagai ahli majlis dan kontraktor mendapatkan tender.

"Pengadu ada menolak banyak tawaran dari kontraktor-kontraktor tersebut namun tidak mengesyaki mana-mana pihak tidak berpuas hati.

"Daripada siasatan kita dapati, pengadu tidak bergaduh dengan sesiapa sejak kebelakangan ini dan tidak mempunyai apa-apa masalah keluarga mahupun peribadi," katanya.

Menurutnya, tempat kejadian merupakan kawasan bebas parkir awam dan tiada perkhidmatan kamera litar tertutup (CCTV).

"Siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Tanjung Malim, Muhamad Alif Asyraf Abdull Rahim menerima nota ugutan bunuh yang diletakkan di cermin hadapan keretanya.

Nota terbabit tertera perkataan 'Aku bunuh kau 3 hari lagi' dengan tulisan tangan menggunakan pen marker berwarna merah.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai Khas MP Tanjung Malim diugut bunuh