Pembaziran KPM tiada kaitan kerajaan baharu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menjelaskan tuduhan pembaziran jutaan ringgit membabitkan Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) di bawah kementerian itu, tiada kaitan dengan amalan kerajaan baharu.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan tuduhan oleh bekas pekerja unit tersebut berlaku semasa pentadbiran kerajaan lama dan tidak melibatkan pentadbiran baharu yang mengutamakan tadbir urus telus, bertanggungjawab dan berintegriti.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai respons kepada laporan sebuah portal berita tempatan bertajuk ‘Perunding kaut berjuta daripada Kementerian Pendidikan di zaman BN’ yang siarkan semalam.

Menurut kenyataan itu, individu yang membuat dakwaan tersebut adalah bekas pekerja unit PADU yang dilantik secara kontrak dan mula bertugas dari 15 Nov 2013 di bawah kerajaan lama, yang kontrak perkhidmatannya ditamatkan pada 2 April 2015.

Individu tersebut dikatakan tidak berpuas hati dengan penamatannya khidmatnya dan kesnya telah dibawa ke Mahkamah Perusahaan yang kini menunggu keputusan perbicaraan.

Susulan itu, KPM menerusi PADU membuat laporan polis pada 11 Januari bagi menyangkal dakwaan tersebut.

“Di bawah kerajaan baharu, KPM mengambil pendekatan untuk memperkukuhkan sistem tadbir urus PADU sebagai usaha penambahbaikan berterusan terutamanya untuk PADU berperanan membantu KPM yang kini menjalankan semakan semula secara menyeluruh pelaksanaan dasar pendidikan negara.

“Keutamaan KPM adalah memastikan sistem tadbir urus yang baik terus dipelihara dan diamalkan,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

PADU ditubuhkan di bawah Akta Syarikat sebagai syarikat terhad dengan jaminan pada Mac 2013 yang diamanahkan untuk merealisasikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang digubal oleh KPM. - Bernama