Ighalo bakal mengganas, kata Solskjaer

Ole Gunnar Solskjaer
Ole Gunnar Solskjaer
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer yakin penyerang baharunya, Odion Ighalo akan menemui rentak jaringan ketika turun berdepan Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, malam esok.

Menurutnya, kehadiran Ighalo akan mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan pasukan itu seperti yang terjadi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Saya dapat merasakan Ighalo serta Bruno Fernandes akan lebih memberikan impak dalam perlawanan terutama ketika menentang Watford.

"Kelemahan utama kami adalah gagal menyudahkan peluang di hadapan gol. Sebab itu kami tewas kepada pasukan seperti West Ham, Burnley, Crystal Palace dan Bournemouth. Saya yakin gabungan kedua-dua pemain ini akan memberikan dimesi baru kepada permainan United.

"Ighalo juga mungkin akan mempunyai sentimen kerana turun menentang kelab lamanya (Watford). Ramai orang mengatakan bahawa apabila berdepan kelab lama, seseorang pemain itu akan cuba berusaha menjaringkan gol," katanya.

Dalam pada itu, Solskjaer menyifatkan perlawanan menentang Watford ini akan menjadi aksi balas dendam selepas tewas pada aksi pertama di Vicarage Road, Disember lalu.

"Sudah tentu ia perlawanan yang amat mengecewakan. Kami sepatutnya menang perlawanan itu. Kami memberikan mereka dua gol dan kami mempunyai peluang untuk menewaskan mereka, cuma kami tidak bernasib baik.

"Beberapa pertukaran pemain juga mungkin saya lakukan dalam perlawanan ini selepas pemain beraksi dalam Liga Europa kelmarin," katanya.

Artikel Berkaitan: