Yakin ketua jurulatih baharu UiTM FC tak hadapi masalah komunikasi

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Kamel Mohamad (kanan) memperkenalkan jersi Pasukan UiTM FC pada Majlis Memperkenalkan Pemain Dan Jersi Pasukan UiTM FC Musim 2020 di INTEKMA Resort and Convenction Centre, hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Kamel Mohamad (kanan) memperkenalkan jersi Pasukan UiTM FC pada Majlis Memperkenalkan Pemain Dan Jersi Pasukan UiTM FC Musim 2020 di INTEKMA Resort and Convenction Centre, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UiTM FC, Prof Dr Azizan Abdullah yakin ketua jurulatih baharu pasukan itu, Frank Bernhardt tidak akan menghadapi sebarang masalah komunikasi dengan barisan pemainnya.

Ini kerana katanya, pengalaman Frank yang pernah menjadi ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara itu, sedikit sebanyak akan membantu jurulatih warga Jerman berkenaan, berinteraksi bersama pasukan.

"Beliau (Frank) pernah menjadi jurulatih untuk pasukan Malaysia, pastinya beliau tidak akan mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri.

"Setakat ini, segala persiapan strategik telah dibentuk Frank dan pemain kita berlatih setiap hari, kerana permainan di Liga Super berbeza dengan persaingan dalam Liga Perdana," katanya kepada pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Pemain dan Jersi Pasukan UiTM FC 2020, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Kamel Mohamad.

Azizan turut menyasarkan skuad The Lion Troops itu akan mampu kekal dalam kelompok lapan teratas Liga Super dan tidak tersingkir daripada liga berkenaan, berdasarkan prestasi pemain ketika ini.

"Saya tidak mahu UiTM FC kembali masuk ke Liga Perdana. Saya beritahu Frank yang kita mesti memberi saingan sengit kepada pasukan lain, dan Frank juga berjanji pemainnya akan memberikan persembahan paling terbaik," katanya sambil menambah The Lion Troops mendapat beberapa tajaan antaranya daripada KPM dan Malaysia Airlines untuk musim 2020.

Sementara itu, Frank pula berkata, pasukannya dilihat jauh lebih baik berbanding musim sebelum ini dalam Liga Perdana, selepas beraksi dalam beberapa perlawanan pramusim.

Artikel Berkaitan:

"Dengan aksi pramusim di Bangkok, Thailand baru-baru ini, saya lihat mereka menunjukkan aksi terbaik dengan beberapa hantaran menarik, sepakan menepati sasaran dan kerjasama yang baik antara mereka," katanya.

Mengulas mengenai aksi pembukaan menentang Melaka United dalam Liga Super musim 2020 pada 29 Feb ini, beliau yakin pasukannya mempunyai peluang yang tinggi untuk memenangi perlawanan pertama itu.

Pada majlis itu, UiTM FC turut memperkenalkan dua jersi baharu iaitu jersi tuan rumah berwarna merah dan jersi di tempat lawan berwarna biru, bagi saingan Liga Malaysia musim 2020 selain pasukan itu turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records, kerana menjadi universiti pertama beraksi dalam semua liga bola sepak Malaysia.- Bernama