Sekadar nak halalkan poligami?

No Image Caption
A
A
A

Awang rasa cadangan sesetengah ulama agar orang kaya kahwin orang miskin ada motif tertentu. Yang pasti sekadar nak halalkan poligami.

Awang dah banyak kali dengar hujah yang digunakan oleh sesetengah ustaz untuk berpoligami. Mereka kata, di dunia sekarang wanita lebih banyak daripada lelaki. Oleh sebab itu, patut sangatlah orang lelaki kahwin lebih daripada satu.

Mereka ternyata bercakap tak pakai data yang sahih. Ikut sedap mulut saja. Berdasarkan fakta, tak pernah dalam apa keadaan pun wanita lebih banyak daripada lelaki termasuk pada zaman perang. Kalau tengok angka daripada data terbaharu, penduduk dunia 49.6 peratus umat manusia (daripada 7.7 bilion) itu adalah wanita. Ini bermaksud wanita kurang sedikit daripada lelaki.

Baru-baru ini Indonesia umumkan jumlah penduduknya pada tahun 2019. Jumlahnya ialah 101 orang lelaki bagi 100 wanita. Hari ini jumlah penduduk Indonesia mencecah 274 juta orang.

Ada ustaz kata di Malaysia, jauh lebih banyak wanita daripada lelaki. Ini juga palsu. Peratus kaum lelaki masih lebih tinggi daripada wanita, 50.7 peratus berbanding 49.3 peratus.

Menurut Jabatan Statistik Negara, jumlah lelaki di Malaysia adalah seramai 16.7 juta dan wanita adalah 15.7 juta orang. Awang tak faham dari mana para ustaz ini dapat maklumat mereka.

Memang Awang sokong kita perlu bantu orang miskin tapi ada banyak cara lain. Bukan dengan mengahwini orang miskin sahaja. Kita perlu berikan pendidikan secukupnya pada anak-anak orang miskin agar mereka akan mengubah masa depan mereka.

Langkah kurangkan pekerja Myanmar

Artikel Berkaitan:

Sekali lagi Awang setuju dengan Tuk Kadir Jasin, Penasihat Media dan Komunikasi Tun Perdana Menteri, pasal nak kurangkan pekerja Myanmar. Awang rasa apa yang Tuk Kadir cakapkan tu betul sangat. Dah terlalu ramai orang Myanmar di sini. Mereka dah kontrol pasar. Mereka dah ada gang sendiri. Mereka dah berani melawan pihak keselamatan.

Kita kena ingat apa yang kerajaan Myanmar buat pada rakyatnya sendiri, orang Islam Rohingya. Mahkamah Keadilan Antarabangsa (CIJ) telah mengarahkan negara itu mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kekejaman ke atas kaum Rohingya. Kita semua tahu apa yang diperlakukan ke atas umat Islam Rohingya. Mereka dihalau, diketepikan, malah dikejami dan dibunuh.

Tapi kita menutup mata kita pada kekejaman ke atas orang Islam di negara itu. Kita bawa masuk ribuan (angka sebenar kata Tuk Kadir ialah lebih 125,000 orang) rakyat Myanmar ke Malaysia.

Awang cadangkan kita kaji semula dasar membawa masuk pekerja Myanmar. Apakah tujuan mereka dibawa masuk ke mari? Apakah untuk mengambil alih Pasar Selayang? Atau mana-mana pasar basar utama di Kuala Lumpur? Bagaimanakah mereka pula boleh menjadi peniaga di pasar-pasar ini? Apakah mereka diberikan lesen oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan?

Kita semua tahu sebahagian dari Selayang dah jadi ‘Little Myanmar’. Mereka dah kuasai banyak kawasan di situ. Mereka bawa gaya hidup mereka.

Awang sedih, pada masa orang Rohingya teraniaya di negara mereka, kita dengan rela hati membawa masuk orang Myanmar yang tidak tahu berterima kasih ke negara ini.