X

Kindly register in order to view this article
!

Audit forensik temui tujuh kesalahan dalam pentadbiran lama Nafas

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas)
A
A

PETALING JAYA - Audit forensik yang dijalankan terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), menemui tujuh perkara yang meragukan dan menyalahi tatacara kewangan serta tadbir urus institusi itu, sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM50 juta.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mendedahkan, penemuan itu berdasarkan hasil audit forensik, terhadap akaun-akaun institusi itu yang dilaksanakan oleh sebuah firma audit antarabangsa pada Mei hingga September tahun lepas, melibatkan salah laku di bawah pentadbiran Ahli-Ahli Jemaah Pengarah (AJP) terdahulu.

Katanya, antara kesalahan tersebut adalah pembelian 40,000 tan metrik baja padi tanpa mengikut prosedur biasa pada 2017 daripada pembekal luar, dan tanpa prosedur operasi standard (SOP) bagi pengambilan sampel untuk ujian makmal, serta pemeriksaan stok ketika baja dihantar oleh pembekal dan ketiadaan dokumen sokongan bagi pembelian tersebut.

"Kos pembelian ini adalah RM70 juta dan kita terpaksa simpan di stor yang mana kos sewanya sekarang sudah RM6 juta. Apabila baja ini dibeli tanpa mengikut spesifikasi, kita tidak boleh edar kepada peladang atau petani yang mendapat subsidi baja," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, baja yang disimpan itu memerlukan pemulihan dan pemprosesan semula mengikut spesifikasi yang betul dan ia melibatkan perbelanjaan yang tinggi iaitu RM700 hingga RM800 untuk satu tan metrik.

Pada Jun 2018, Pendaftar Pertubuhan Peladang mengeluarkan perintah penggantungan ke atas Nafas susulan satu laporan pengurusan audit yang dilakukan pada 26 Mac 2018, kerana mengalami masalah tadbir urus yang serius terutama dari aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepimpinan AJP dan pengurusan sebelum ini.

Phahrolrazi berkata, penemuan lain yang diperoleh adalah pembelian bangunan ibu pejabat Nafas di Kota Damansara yang mengakibatkan kerugian bernilai kira-kira RM11 juta, apabila dibeli dengan harga RM59.8 juta pada 2014 sedangkan harga tawaran asal adalah RM48.5 juta dan lebih meragukan apabila bangunan itu dinilai pada harga RM57 juta oleh penilai swasta.

Katanya, kes ini telah dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan Peladang dan tindakan perundangan telah dilakukan pada 4 Februari 2020 terhadap AJP yang terlibat dalam keputusan pembelian tersebut.

Beliau berkata, Nafas turut membeli ladang kelapa sawit di Sungai Karap, Miri di Sarawak pada 2016 pada nilai harga RM135 juta selepas ditawarkan pada harga RM145.4 juta, iaitu lebih tinggi daripada harga pasaran sebenar iaitu RM122.8 juta.

Selain itu, penyewaan bangunan Wisma Peladang milik Nafas di Jalan Bukit Bintang, di Kuala Lumpur yang meragukan, apabila kadar sewa dikenakan lebih rendah daripada nilai pasaran di mana kadar sewa Nafas pada 2015 adalah RM2.5 juta setahun berbanding kadar sewa semasa iaitu RM3.7 juta setahun mengikut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia (JPPH).

"Pada 2019, kadar sewa yang dikenakan Nafas adalah RM2.75 juta setahun berbanding kadar sewa semasa iaitu RM4.94 juta setahun. Perjanjian penyewaan fasa kedua pada Mei 2022 hingga April 2042 bertarikh 22 Ogos 2006 juga dibuat sebelum tamat tempoh penyewaan fasa pertama (Mei 2002 hingga April 2022)," katanya.

Selain itu, terdapat juga kecuaian dalam pembelian stok membabitkan Nafas dan anak syarikat antaranya pembelian baja bio serbaguna bernilai RM1.3 juta, susu kambing New Zealand (RM770,000), racun (RM525,000), sabit (RM355,000), kacang tutup bumi (RM2 juta) dan racun serangga (RM3.5 juta).

Turut ditemui, sebahagian pembayaran zakat perniagaan Nafas dibuat kepada penerima tidak layak berjumlah RM500,000 kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kemaman dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sarawak berjumlah RM100,000, serta wujudnya konflik kepentingan dalam pembelian hartanah oleh Nafas Feedmills Sdn Bhd yang dibeli dengan harga RM14.5 juta, lebih tinggi daripada penilaian JPPH iaitu RM11.7 juta.

Phahrolrazi berkata, untuk memastikan tidak berlakunya ketirisan dalam tadbir urus Nafas, seorang pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) akan ditempatkan di institusi itu secepat mungkin dan ia telah dipersetujui oleh Lembaga Pertubuhan Peladang. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus